KOTA BHARU 18 Jan. - Peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Mohd. Al-Hasyhiemi Mohd. Hussin, 18, yang lemas selepas terjatuh dalam longkang ketika banjir kilat melanda Kem PLKN Tegas Mesra di Selama, Perak pada 1 Januari lalu, kini dilaporkan semakin kritikal.
Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini sejak empat hari lalu setelah mengadu sukar bernafas selepas dirawat di Hospital Pasir Mas dan masih dalam keadaan separuh sedar.
Bapanya, Mohd. Hussin Mohd. Yunus, 45, ketika ditemui di HRPZ II hari ini memberitahu, doktor mengesahkan anaknya mengalami jangkitan kuman di paru-parunya ekoran tertelan air terlalu banyak.
Berikutan itu, Mohd. Hussin turut membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu, petang semalam kerana pihak PLKN tidak memaklumkan mengenai kejadian yang hampir meragut nyawa anaknya itu.
"Sepatutnya Jabatan Latihan Khidmat Negara lebih prihatin dan mengambil berat terhadap peserta yang mengalami kemalangan semasa berada di kem PLKN. Saya hanya mengetahui apabila menghubungi anak saya dua hari selepas kejadian ketika dia dirawat di wad pelatih.
"Anak saya mengadu kurang sihat dan saya berusaha mendapatkan kebenaran agar dia dipindahkan ke kem latihan di Cancun Park di Pasir Mas mulai 11 Januari," katanya.
Menurutnya lagi, dua hari kemudian anaknya itu dimasukkan ke Hospital Pasir Mas dan kemudiannya pada Khamis lalu, dia dibawa ke HRPZ II setelah keadaannya semakin teruk.
Mohd. Hussin menceritakan, anaknya lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang besar sedalam kira-kira 1.5 meter ketika mengangkut barangan ke tempat yang selamat semasa banjir kilat melanda kem berkenaan.
Berikutan itu, katanya, peserta PLKN yang ditempatkan di asrama itu terpaksa dipindahkan ke blok sementara menunggu air surut dan pembersihan bilik dilakukan.
Menurut bapa peserta itu, anaknya kini terpaksa menggunakan bantuan oksigen berikutan kesukaran bernafas.
No comments:
Post a Comment