02 January 2009

PBB Bertanggungjawab Terhadap Pembunuhan Rakyat Palestin

KOTA BAHARU, 2 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa oleh Yahudi, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata masalah yang berlarutan sejak penempatan Yahudi di Semenanjung Gaza pada 1946 perlu diselesaikan dengan membawa keluar kaum pendatang itu dari bumi rakyat Palestin.

"Selagi Yahudi tidak keluar dari bumi mereka selagi itu masalah tidak selesai di Palestin dan PBB perlu bertanggungjawab terhadap pembunuhan orang Palestin yang tidak berdosa oleh Yahudi," katanya ketika menyampaikan ceramah mingguan beliau di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin oleh tentera Yahudi baru-baru ini mengorbankan lebih 200 rakyat Palestin tidak berdosa.

Nik Aziz berkata penempatan secara haram kaum Yahudi di bumi Arab itu merupakan punca perbalahan berpanjangan sehingga sekarang walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Beliau menyarankan PBB memindahkan segera kaum Yahudi dari bumi Palestin dan menempatkan kaum terbabit di kawasan yang jauh daripada bangsa lain.

"PBB boleh pilih Afrika Selatan, PBB boleh pilih Australia yang buminya masih luas dan boleh didiami secara bebas di sana," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment