KUALA LUMPUR 5 Jan. - Malaysia telah meluluskan bantuan kemanusiaan segera berjumlah RM3.4 juta kepada penduduk Palestin.Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, wang itu akan disalurkan menerusi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) untuk menyediakan bantuan kemanusiaan terutama bekalan ubat-ubatan.
''Kerajaan juga telah mengarahkan Kementerian Luar membuka semula Tabung Untuk Rakyat Palestin bagi menyelaras bantuan-bantuan yang diberikan oleh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdullah berkata, Malaysia akan terus memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri memberitahu, beliau akan menulis surat kepada pemimpin-pemimpin dunia meminta mereka untuk menggunakan kedudukan dan pengaruh mendesak Israel menghentikan serangan dan bersetuju mengadakan gencatan senjata.
''Pendirian Malaysia adalah tetap bahawa keamanan dan kestabilan yang berterusan di Semenanjung Gaza hanya boleh dicapai menerusi rundingan damai," katanya.
Israel semalam memulakan serangan darat ke atas Semenanjung Gaza selepas lapan hari melakukan serangan udara dan melancarkan serangan bom ke wilayah Palestin tersebut.
Abdullah berkata, kerajaan dan rakyat negara ini melahirkan rasa bimbang yang amat sangat terhadap serangan berterusan Israel itu yang tidak mengambil kira nyawa manusia atau pendapat dunia.
Tegas beliau, Israel melakukan hukuman bersistematik terhadap Semenanjung Gaza tanpa memikirkan nyawa penduduk yang tidak berdosa serta kemusnahan harta benda mereka.
Menurutnya, tindakan Israel itu merupakan satu perbuatan tidak bermoral dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
''Serangan darat oleh Israel di Semenanjung Gaza sebagai satu tindakan perang yang tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa. Israel perlu dikutuk oleh masyarakat dunia," tegasnya.
Perdana Menteri menambah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertanggungjawab menghentikan kekejaman Israel itu dan ia perlu mendesak supaya gencatan senjata dikuatkuasakan.
Abdullah memberitahu, kegagalan Majlis Keselamatan PBB melaksanakan tanggungjawab itu akan menyebabkan krisis menjadi lebih runcing, menjejaskan perpaduan Palestin dan mengancam keamanan dan keselamatan di Asia Barat.
''Majlis Keselamatan PBB gagal bertindak dalam saat yang amat kritikal ini dan menyeru supaya Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar bagi menerima satu usul perdamaian,'' kata beliau.
No comments:
Post a Comment