05 January 2009

Lima anggota Angkatan Muda Keadilan ditahan di Kuala Terengganu - Malaysiakini

Polis menahan lima anggota Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), termasuk ketua AMK Terengganu, Fariz Musa pagi tadi.

Menurut Ketua AMK pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mereka ditahan pada kira-kira jam 5 pagi ketika menampal poster memaparkan gambar mendiang Altantuya Shaaribuu, sebagai sebahagian daripada kempen pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Shamsul mendakwa tindakan mereka itu menyebabkan pihak polis bertindak menahan mereka di bawah Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

Mereka kini ditahan di ibupejabat polis Kuala Terengganu untuk disoal siasat. Mereka dijangka dibebaskan lewat hari ini.

Shamsul turut menyifatkan penangkapan mereka itu sebagai bermotifkan politik dan satu bentuk intimidasi polis terhadap anggota PKR.

"Bagi saya, anda tidak boleh mengkategorikan pemasangan poster seperti itu sebagai satu kesalahan jenayah. Saya percaya pois menahan mereka kerana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan (ke Kuala Terengganu) hari ini," katanya.

Hanya kerana itu, tegas Shamsul, polis menghalang mereka daripada menampal poster-poster tersebut.

"Ini menunjukkan Najib bimbang dan ini menguatkan lagi kepercayaan kita bahawa beliau memang terbabit dalam pembunuhan Altantuya," kata Samsul tidak dihubungi.

Beberapa pihak dilaporkan telah mengaitkan Najib dengan pembunuhan tersebut yang berlaku pada Oktober 2006.

Teman rapatnya, penganalisa politik, Abdul Razak Baginda, telah didakwa bersubahat dalam pembunuhan tersebut, tetapi mahkamah telah membebaskannya daripada tuduhan tersebut.

Najib telah berulangkali menafikan sebarang pembabitan atau mengenali atau pernah bertemu dengan wanita Mongolia itu.

Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan berlangsung pada 17 Januari depan. Penamaan calon diadakan esok.

Ia bakal menyaksikan persaingan antara calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid dan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut.

Manakala naib presiden, Angkatan Keadilan Insan Malaysia, Harun Mohamad juga dijangka mengemukakan pencalonannya esok.

No comments:

Post a Comment