24 January 2009

Kes Kugan: 11 anggota polis dipindah ke ibupejabat - Malaysiakini

Sebelas anggota polis berpangkat konstabel dan lans koperal dari balai polis Subang Taipan - di mana seoang pemuda A Kugan meninggal dunia dalam tahanan polis - telah dipindahkan serta merta semalam.

Menurut akhbar New Straits Times, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kesemua mereka kini ditempatkan melakukan kerja-kerja pejabat di ibupejabat polis kontinjen di Petaling Jaya.

"Mereka dipindahkan untuk mempercepatkan siasatan. Kita menjangka ia dapat disiapkan dalam masa tiga hari.

"Pihak poli masih merakam dan mengumpul kenyataan. Sebaik sahaja siasatan siap, kami akan memutuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengklasifikasikan kematian pemuda berusia 22 tahun itu sebagai kes bunuh.

Pasukan penyiasat

Sementara itu, Bernama melaporkan, pasukan siasatan khas Bukit Aman telah mula merekod keterangan anggota polis yang bertugas ketika A. Kugan mati semasa dalam tahanan polis.

Pasukan tersebut yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Shatar Abdul Jalil, mula merekod keterangan daripada 11 anggota polis yang terbabit mulai hari Rabu.

"Mereka (polis) ini berusia 25 hingga 30 tahun dan dari daerah Subang Jaya serta berpangkat konstabel hingga lans koperal. Pasukan khas mengambil keterangan mereka di pelbagai lokasi termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi jaminan tiada 'cover-up' dalam siasatan kes kematian Kugan itu.

Kugan, 22, ditahan reman sejak minggu lepas kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah, sebelum meninggal dunia ketika dalam tahanan di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya pada 11 pagi Selasa lalu.

Keluarganya yang tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mendakwa dia didera polis kerana ada banyak kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya akibat paru-paru berair.

MIC mahu j/kuasa bebas

Sementara itu, MIC mahu jawatankuasa bebas yang dianggotai tokoh terkemuka menyiasat kematian A. Kugan semasa dalam tahanan polis, manakala MCA mahu bedah siasat kali kedua dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pemuda itu.

Kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mahu polis mengambil

tindakan segera bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti di pihak kerajaan.

Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata langkah telus di pihak kerajaan akan dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap polis.

Beliau berkata parti itu mahu kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas yang dianggotai tokokh terkemuka untuk menyiasat kematian pemuda berusia 22 tahun itu semasa dalam tahanan polis.

"Jawatankuasa itu perlu diberikan kuasa untuk mengkaji seluruh prosedur lokap dan rakaman kamera litar tertutup yang ada (dalam lokap)," katanya di ibunegara hari ini.

Manakala ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Wong Nai Chee dalam kenyataan berkata bedah siasat kali kedua patut dilakukan secara profesional untuk mengenal pasti punca sebenar kematian itu.

Beliau berkata MCA amat terkejut dengan tahap kecederaan yang dialami Kugan yang didakwa terjatuh dan meninggal dunia semasa dalam tahanan polis.

"Kami menggesa (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Syed Hamid Albar dan (Ketua Polis Negara) Tan Sri Musa Hassan untuk mengambil tindakan segera (terhadap dalang yang bertanggungjawab).

"Berikutan orang ramai sukar untuk menerima alasan (bagi kematian Kugan) diberikan Ketua Polis Selangor (Datuk Khalid Abu Bakar) bahawa Kugan mati akibat kesukaran bernafas, penyiasatan perlu dilakukan dengan telus," kata Wong yang juga Ketua Biro Hal Ehwal Undang-undang dan Penyelidikan Parlimen Pemuda MCA.

Katanya parti itu menyambut baik keputusan Abdul Gani untuk menukar klasifikasi kes itu sebagai kes bunuh. - Malaysiakini

3 comments:

  1. Mengapa tidak ditahan atau digantung kerja sementara penyiasatan dijalankan???Apakah dengan cara ini rakyat mudah lupa akan kezaliman ini kerana rakyat tak pernah tengok muka penganas-penganas ini??

    ReplyDelete
  2. nak siasat org salah pun, gunalah adab yg baik skit. stakat gertak2 utk korek maklumat bg dptkan bukti. bkn dgn cara dera dan pukul sampai berbuih mulut mamat india tu. ni dah terbalik, polis yg siasat plak dituduh bersalah krn menyiasat org yg dituduh bersalah dgn cara yg salah. blm pun terbukti pesalah itu bersalah, polis plak yg disiasat utk mbuktikan kesalahannya. tak ke bodo namanya tu? profesional konon.

    ReplyDelete
  3. Lagiberita,

    Orang yang melakukan kejahatan adalah orang yang bijak, berani dan tidak berperikemanusiaan. Dan mangsanya adalah orang yang bodoh dan lemah.

    Orang yang kerjanya terlibat dengan jenayah sudah tahu apa akan terjadi pada dirinya sekiranya mereka ditangkap polis.

    Seperti kata pepatah "sepandai-pandai tupai melompat dahan akhirnya jatuh juga ketanah jua" Apabila orang jahat sudah tertangkap maka dia ada dua pilihan iaitu mengaku atau tidak mengaku.

    Kalau dia bersendirian mudah untuk dia mengaku, tapi jika dia berkumpulan maka dia mesti menutup rahsia kumpulannya.

    Tugas polis terhadap orang yang sudah ditangkap sebagai disyaki penjenayah adalah mencari maklumat untuk menentukan fatka hukuman sebelum dibawa kemahkamah.

    Pada kebiasaannya penjenayah akan tunjuk lagak hero dihadapan polis walaupun tangannya sudah digari. Orang jenis ini adalah santapan bagi anggota polis yang bermasaalah.

    Segala masaalah yang mereka tanggong akan dilepaskan pada orang yang disyaki itu. Akibatnya kita boleh lihat sebagaimana terjadi pada kugan.

    Dari segi undang-undang, polis yang menyoal siasat mesti bertangongjawab diatas kejadian itu. Hukumannya terletak pada hakim dimakamah.

    Pekara ini akan berulang lagi kepada penjenayah yang lain walau tindakan akan diambil oleh ketua mereka.

    Persoalannya: Penjenayah seperti Kugan ketika melakukan jenayah, mereka tidak peduli apa yang dirasai oleh mangsanya. Apakah apabila polis menyoal kugan perlu bersopan santun sebagai menjaga status profesional..?

    Sekiranya Kugan masih belum dapat ditahan sehingga kini, ada kemungkinan dia sekarang sedang melakukan jenayah disebelum rumah anda !

    Bagi anda yang ada niat nak melakukan pekara yang menyalahi undang-undang, fikirlah banyak kali sebelum melakukannya. Ada kemungkinan giliran anda akan dibelasah seperti kugan selepas ini.

    ReplyDelete