01 January 2009

Kerajaan Digesa Haramkan Tayar Toreh Dan Terpakai

ALOR STAR, 1 Jan (Bernama) -- Kerajaan digesa mengharamkan penggunaan tayar toreh dan terpakai kerana penggunaan tayar itu boleh menyebabkan kemalangan maut.

Penerbit Majalah Auto Touch Shamsudin Mohd Fauzi berkata kajian yang dijalankan oleh Perfect Driving & Safety Academy (PDSA) yang berpejabat di Kuala Lumpur mendapati kebanyakan kemalangan berpunca daripada tayar, terutamanya tayar toreh dan terpakai.

"Ramai orang tidak menyedari penggunaan tayar itu boleh menyebabkan kemalangan maut dan jika ia tidak diharamkan lebih ramai lagi akan menjadi mangsa korban di jalan raya," katanya kepada pemberita selepas membentangkan laporan kajian mengenai tayar toreh dan terpakai di Jabatan Keselamatan Jalan Raya Kedah (JKJR) di sini, Khamis.

Shamsudin yang juga pengarah PDSA berkata kajian itu juga mendapati kebanyakan pembeli tayar toreh dan terpakai adalah daripada golongan orang kampung dan kawasan luar bandar yang kurang pengetahuan mengenai bahaya menggunakan tayar berkenaan.

Kedah dikesan mempunyai kedai yang paling banyak menjual tayar toreh dan terpakai terutamanya di Kuala Ketil dan Baling, katanya.

"Banyak pengguna tayar mengambil jalan mudah dengan membeli tayar itu kerana mereka tidak menyedari tayar toreh sebenarnya adalah tayar yang telah botak dan ditoreh untuk menebalkan semula bunganya sehingga menyebabkan tayar itu semakin nipis," katanya.

Malahan tayar terpakai yang diimport dari luar negara juga tidak sesuai digunakan di Malaysia kerana cuaca di negara ini adalah berbeza, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Kedah V. Arumugan berkata kerajaan negeri akan mengambil langkah sewajarnya berhubung perkara itu.

"Kita akan buat satu program pergi ke kedai-kedai dan memberi teguran kepada penjual tayar dan menasihati pengguna," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment