KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Keputusan bedah siasat kedua bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Kugan a/l Ananthan masih belum dapat disahkan kerana pihak hospital dikatakan memerlukan masa untuk meneliti kesan luka di badan mangsa.
Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga mendiang berkata pihak hospital memerlukan sedikit masa lagi untuk meneliti keputusan bedah siasat kedua ke atas mayatnya yang meninggal dunia ketika ditahan di lokap Balai Polis di Subang Selasa lalu.
"Mayat Kugan akan diserahkan kepada keluarganya pada hari Rabu ini untuk diuruskan seterusnya," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, Ahad malam.
Bedah siasat kedua ke atas mayat Kugan dijalankan di PPUM tengah hari tadi, setelah keluarga mendiang tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat pertama yang merujuk punca kematiannya adalah disebabkan paru-paru berair.
Keluarga mangsa telah memajukan permintaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya bedah siasat kali kedua dijalankan.
Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Jan di Balai Polis Taipan di Subang Jaya kerana disyaki terbabit dalam kecurian kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, mati semasa di soal siasat.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment