22 January 2009

Kematian suspek: Polis panggil 2 timbalan menteri 'ceroboh' bilik mayat

PETALING JAYA: Dua timbalan menteri akan dipanggil Polis Selangor kerana dipercayai telah 'berada' dalam bilik mayat Hospital Serdang berhubung insiden kematian seorang suspek semasa dalam tahanan kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan memanggil kedua-dua anggota Kabinet itu untuk membantu siasatan.

Menurut beliau, tindakan mereka memasuki bilik mayat Hospital Serdang dipercayai telah menjejaskan bukti yang boleh membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun beliau tidak menamakan nama kedua-dua timbalan menteri berkenaan.

Difahamkan mereka ialah K. Devamany dari MIC dan T.Murugaiyah dari Parti Progresif Rakyat (PPP) - kedua-duanya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kami hendak tahu mengapa mereka berada di sana apabila keluarga suspek meredah bilik mayat," kata beliau di Kajang pagi tadi.

Penolong pegawai perubatan Hospital Serdang, Mohamed Azharuddin Abdul Ghani membuat laporan mengenai insiden itu dengan mendakwa dia dan dua kakitangan lain telah dipaksa keluar dari bilik mayat oleh sekumpulan mereka yang datang kira-kira pukul 11.30 malam.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi jenayah intimidasi.

Suspek A. Kugan, 23, mati di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya dan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai.

Kelmarin, Khalid berkata, Kugan mati dalam lokap dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Kugan, yang ditahan bagi membantu siasatan kes curi kereta mewah mati secara tiba-tiba ketika sedang disoal siasat.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi ketika lelaki itu disoal siasat berhubung kes samun dan curi kereta mewah membabitkan kumpulan yang bergerak aktif di sekitar Lembah Klang.

"Ketika disoal siasat, lelaki itu minta segelas air minuman, sebaik minum dia jatuh dan tidak sedarkan diri. Doktor dari sebuah kilinik berhampiran dipanggil untuk memeriksa lelaki berkenaan dan mengesahkan dia telah mati," kata Khalid kelmarin.

Kugan, berusia 23 tahun yang berasal dari Puchong itu, ditahan pada 15 Januari lepas kerana disyaki terbabit dalam kegiatan samun dan curi kereta mewah jenis Toyota Camry dan Honda Accord di Sungai Chua, Kajang.

Ketika ditemui wartawan pagi ini, Khalid berkata, berdasarkan laporan siasatan yang diterima malam tadi, pihaknya mendapati suspek mati kerana paru-paru berair.

Bagaimanapun katanya, kes itu masih disiasat kerana mempunyai lebam pada badannya.

Kes kematian Kugan disiasat di bawah Akta 330 Kanun Keseksaan.

Maklumat sebelum ini menyebut mangsa ditahan di hadapan sebuah kondominium di Puchong, di mana pergelutan berlaku antara dia dan polis sebelum Kugan ditahan. - Mstar

* Rakyat akan pilih pemerintah yang menyediakan polis yang baik

No comments:

Post a Comment