24 January 2009

Kematian Kugan diklasifikasi kes bunuh untuk siasatan

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah meminta pihak polis mengklasifikasikan kematian suspek kes kecurian kereta, A. Kugan sebagai kes bunuh bagi tujuan penyiasatan.

Abdul Gani berkata, beliau telah berjumpa dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang membawa gambar mayat Kugan yang diambil oleh polis dan orang luar ketika berada di bilik mayat Hospital Serdang.

"Selepas mengkaji gambar dan kertas siasatan, saya mencadangkan kepada Timbalan Ketua Polis untuk mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

"Jika penyiasatan dan laporan bedah siasat menunjukkan yang dia (Kugan) mati kerana diserang, maka mereka yang bertanggungjawab akan didakwa atas tuduhan membunuh.

"Jika tiada bukti yang menunjukkan sesuatu yang tidak jujur berlaku, maka kes ini harus direhatkan dan tidak perlu dipolitikkan," katanya.

Ismail dalam pada itu memberi jaminan kepada keluarga Kugan dan orang awam yang pihak polis tidak akan menutup apa jua salah laku yang dilakukan pegawai atau anggotanya.

"Saya bersimpati dengan keluarga mangsa dan memberi jaminan kepada mereka yang kita tidak akan melindungi sesiapa.

"Kita akan berpegang kepada undang-undang dan menyiasat perkara ini dengan profesional dan berintegriti.

Sementara itu, di KUCHING, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata, polis akan menyiasat kes kematian Kugan.

Katanya beliau akan mengarahkan pegawainya untuk menyiasat kes tersebut secara terperinci sebelum sebarang tindakan dan keputusan dilakukan.

"Kita akan siasat, kerana saya difahamkan dia (Kugan) meninggal dunia akibat masalah paru-paru berair," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tiga penjuru pertama Ketua Polis Malaysia, Indonesia dan Brunei di sini. - Mstar

No comments:

Post a Comment