02 January 2009

Jangan salahkan kerajaan harga barang tak turun

KUALA TERENGGANU 1 Jan. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh meminta rakyat tidak menyalahkan kerajaan semata-mata berikutan keengganan peniaga menurunkan harga barangan di pasaran.

Kerajaan, katanya, telah mengambil langkah menurunkan harga petrol yang merupakan kos utama dalam industri pengangkutan dan peniaga perlu melakukan perkara yang sama dengan menurunkan harga barangan.

''Kerajaan hanya boleh mengurangkan harga minyak yang menjadi perkara asas kepada kenaikan dan penurunan harga barang.

''Jika kos pengangkutan sudah berkurangan maka sudah sampai masanya para peniaga mengambil langkah untuk menurunkan harga barangan," katanya selepas melakukan lawatan di Pasar Besar Kedai Payang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu ekonomi semasa yang digunakan oleh parti pembangkang untuk berkempen menentang BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, pada 17 Januari ini.

Wan Ahmad Farid percaya lambat-laun para peniaga akan menurunkan harga barangan ekoran penurunan kos pengangkutan akibat tekanan pengguna.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan beban ibu bapa ketika permulaan sesi persekolahan ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

''Antara usaha dilaksanakan oleh kerajaan negeri ialah memberi bantuan pakaian sekolah kepada ibu bapa pelajar sekolah rendah dan menengah," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid meminta parti pembangkang tidak lagi menimbulkan isu 'pengundi hantu' selepas senarai daftar pengundi Parlimen Kuala Terengganu disahkan bersih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

''Sebenarnya, senarai daftar pengundi tidak pernah berubah sejak Pilihan Raya Umum 1999 yang menyaksikan Pas berjaya mengambil alih pentadbiran Terengganu.

''Jika mereka masih mendakwa terdapat pengundi hantu bermakna pengundi hantu jugalah yang memenangkan mereka pada Pilihan Raya Umum 1999," katanya. - Utusan

* Mengapa kerajaan UMNO tidak ambil tindakan peniaga naikkan harga barang?

No comments:

Post a Comment