SHAH ALAM 5 Jan. — Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) masih lagi relevan untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat dengan majoriti rakyat mahu undang-undang pencegahan itu dikekalkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.
“Kalau itu yang dikehendaki oleh rakyat, suruh kita mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, kita akan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi mengikut kita punya kajian, majoriti rakyat mahukan Akta Keselamatan Dalam Negeri dikekalkan,” katanya semasa Majlis Bicara Tokoh: “Masih Relevankah ISA” anjuran Kementerian Dalam Negeri dan badan bukan kerajaan, Shah Alam Free Speech di sini malam tadi.
Syed Hamid juga berkata kebanyakan suara yang menggesa supaya akta ini dihapuskan lahir daripada gerakan pembangkang dan juga badan bukan kerajaan seperti SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) yang keahliannya tidak seramai mana tetapi mencanangkan seolah-olah mereka mewakili suara seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata kedudukan mereka yang melalui proses tahanan ISA tidak terjejas kerana mereka bukan tahanan jenayah bahkan pengalaman mereka semasa tahanan mematangkan mereka dan menjadikan mereka ahli-ahli politik yang berjaya.
“Jadi tidak ada perkara yang kita khuatir atau perlu berasa sebagai kerajaan ’apologetic’ atau perlu minta maaf atas penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri ini,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment