22 January 2009

Haneyya : Semua kementerian, institusi dan pejabat kerajaan mula dibuka seperti biasa.

Kerajaan Palestin dipilih yang diketuai oleh Perdana Menterinya Ismail Haneyya memutuskan bermula hari ini (Rabu 21/1/2009) segala urusan di semua kementerian awam dan institusi-institusi di bawahnya akan beroperasi seperti biasa, suatu tindakan yang dianggap sebagai cabaran jelas terhadap regim Zionis yang melancarkan serangan terhadap Gaza dengan matlamat menghancurkan kerajaan HAMAS.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap kerajaan HAMAS, Tahir al-Nunu, pihak kerajaan menyeru semua pegawai agar melaporkan diri di pejabat masing-masing bermula pagi esok (Rabu). Langkah ini diambil bagi memulakan usaha untuk menghidupkan semula aktiviti kehidupan seharian dan bagi membangunkan semula apa yang telah musnah di Gaza setelah 23 hari serangan yang dilancarkan oleh musuh Zionis.

Kerajaan Ismail Haneyya menegaskan ia akan terus menjalankan tugasnya meskipun muzuh Zionis telah memusnah dan meranapkan hampir keseluruhan bangunan-bangunan kementerian kerajaannya. Universiti-universiti dan sekolah-sekolah di Gaza juga turut mengumumkan kesediaannya untuk memulakan operasinya bagi persediaan sesi pengajiannya.

Selasa lalu, satu tunjuk perasaan besar-besaran diadakan di Gaza yang disertai oleh puluhan ribu rakyat Palestin. Mereka menegaskan akan meneruskan penentangan mereka demi bumi Palestin yang dicintai. Mereka juga turut memperlihatkan sokongan mereka yang berterusan kepada gerakan HAMAS dan kerajaan Ismail Haneyya. - Palestinkini

No comments:

Post a Comment