06 January 2009

Dua Suspek Kes Tikam Ketua Polis Tawau Diberkas

TAWAU, 6 Jan (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes mencederakan pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Ramli Ali yang ditikam di kediamannya di Taman Ria 5 di sini Sabtu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata kedua-dua lelaki tempatan itu, masing-masing berumur dalam lingkungan 20an dan berasal dari Kampung Tanjung Batu dekat sini, diberkas dalam satu operasi besar-besaran di sekitar bandar Tawau semalam.

Beliau berkata mereka merupakan antara 21 orang yang ditahan di beberapa tempat oleh pasukan khas dari ibu pejabat polis Sabah di Kota Kinabalu.

"Polis kini memburu seorang lagi rakyat tempatan dikenali Sidek Asbi alias Rano berumur 25 tahun berasal dari Semporna dan bekerja sebagai buruh kasar sambilan di bandar Tawau bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di Balai Polis Tawau di sini hari ini.

Noor Rashid berkata polis berjaya mendapat kembali barang yang dicuri termasuk komputer riba.

Pisau yang digunakan untuk menikam Ramli juga telah ditemui di tempat kejadian, katanya.

"Kes ini tiada kena mengena dengan balas dendam sebaliknya merupakan rompakan pecah rumah," kata Noor Rashid.

Beliau berkata keadaan Ramli sudah stabil tetapi masih perlu mendapat rawatan lanjut di Hospital Tawau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment