22 January 2009

Devamany: "Kehadiran kami tidak jejaskan bukti kes kematian suspek"


PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, K. Devamany menafikan bahawa kehadiran beliau dan rakan sejawatnya, T. Murugiah di bilik mayat berhubung kematian seorang tahanan, A. Kugan telah menjejaskan bukti yang boleh membantu siasatan kes berkenaan.

Devamany yang juga ahli Parlimen Cameron Highlands berkata, beliau dan Murugiah hadir di Hospital Serdang untuk melihat mayat tersebut setelah dipanggil oleh beberapa ahli MIC dan menyifatkannya sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan pemimpin tanpa mengira waktu.

"Bila rakyat panggil, kita datang tanpa mengira waktu kerana saya adalah wakil rakyat.

"Tidak timbul soal menjejaskan bukti di sini kerana kita hanya datang melihat dan itu pun di luar bilik mayat," kata pemimpin MIC ini ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Devamany berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini bahawa pihaknya akan memanggil dua Timbalan Menteri untuk memberi keterangan kerana dipercayai telah ' menceroboh' bilik mayat di Hospital Serdang berhubung kematian seorang tahanan.

Khalid berkata, tindakan dua anggota Kabinet itu dipercayai telah menjejaskan bukti siasatan kes berkenaan.

Kugan, 23 yang mati mengejut di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya dan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai.

Devamany berkata, pada awal pagi itu, kira-kira 10 orang berada bersamanya di luar bilik mayat itu termasuk Murugiah, ahli keluarga si mati dan beberapa ahli MIC.

Devamany berkata, mereka kemudiannya meminta pengarah hospital datang ke situ bagi memberi penerangan kepada ahli keluarga si mati berhubung prosedur seterusnya dalam menguruskan mayat tersebut.

"Pengarah hospital kemudiannya hadir dan memberi penerangan tentang prosedur seterusnya dan dua pakar ahli patologi turut hadir bersama," katanya.

Devamany turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Khalid yang mengatakan kehadiran mereka di situ telah menjejaskan bukti kerana menurutnya, beliau hadir kerana prihatin dengan masalah rakyat.

"Ketua Polis (Selangor) kena jaga kenyataan beliau.

"Kalau ada bukti kita ni pengacau, tidak mengapalah tapi kita hanya berada di luar bilik mayat dan itu pun kerana kita prihatin dengan masalah mereka.

"Sekarang rakyat tahu di mana tempat mereka mahu menyuarakan masalah mereka.

"Kita hanya mahukan keadilan dan kita pergi untuk meredakan dan menasihatkan mereka," katanya.

Devamany berkata, pihak polis tidak patut menuding jari ke arah mereka sebelum siasatan selesai dijalankan.

"Biar siasatan habis dahulu, barulah boleh nak tuduh menuduh antara satu sama lain. Jalan keadilan adalah yang sebaik-baiknya.

"Kalau kita tak salah, kita tak perlu takut dan tidak ada ego di sini," katanya.

Beliau berkata, seorang pegawai polis dari Sepang telah menghubunginya tengah hari tadi yang meminta beliau hadir untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

Katanya, beliau akan hadir memberi keterangan minggu depan kerana kini berada di kawasannya atas tugas rasmi.

Dalam pada itu, Murugiah berkata, beliau telah menerima panggilan telefon yang diminta ke bilik mayat tersebut.

"Saya menerima panggilan telefon kira-kira pukul 11 malam. Pemanggil itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk berada di situ sebagai seorang kakitangan awam," katanya.

Murugiah berkata, ketika beliau tiba di hospital tengah malam itu, orang ramai di situ yang sedang dalam keadaan marah bertanyakan apa yang berlaku kepada Kugan.

Katanya, beliau hanya berdiam diri dan mendengar kemarahan mereka memandangkan niat utamanya adalah untuk menjernihkan keadaan.

"Saya juga menenangkan keluarga dan saudara-mara si mati. Saya beri jaminan kepada mereka yang pihak polis akan menyiasat perkara itu," katanya. - Mstar

* Perlu tekanan politik yang tegas, jika hendak polis siasat dengan adil

No comments:

Post a Comment