24 January 2009

'Ceroboh' bilik mayat: Murugiah mahu saman Ketua Polis Selangor

PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah sedang mempertimbangkan untuk menyaman Ketua Polis Selangor kerana mengeluarkan kenyataan bersifat memfitnah beliau berhubung isu kematian tahanan polis awal minggu ini.

Murugiah berkata, kenyataan Datuk Khalid Abu Bakar kelmarin yang mengatakan tindakan beliau dan rakan sejawatnya, K. Devamany dari MIC, memasuki bilik mayat Hospital Serdang bagi melihat keadaan mayat tahanan, kononnya menjejaskan bukti telah merosakkan reputasinya sebagai anggota Kabinet.

"Saya sedang mempertimbangkan untuk menyaman beliau kerana kenyataannya itu telah menyebabkan saya ditafsir sebagai seorang gangster.

"Saya telah menghubungi peguam saya untuk mendapatkan nasihat dan jika ada kenyataan beliau (Khalid) yang mempunyai lunas-lunas yang memfitnah saya, saya akan teruskan saman itu.

"Saya juga mahu beliau memohon maaf kerana telah mengeluarkan kenyataan yang telah menjatuhkan imej saya," kata beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Khamis lalu, Khalid berkata, pihak polis akan memanggil dua timbalan menteri bagi membantu siasatan kerana dipercayai telah berada dalam bilik mayat Hospital Serdang pada awal pagi Rabu lalu berhubung insiden kematian A. Kugan secara mengejut di Balai Polis USJ 8.

Menurut Khalid, tindakan dua timbalan menteri itu dipercayai telah menjejaskan bukti yang boleh membantu siasatan kes berkenaan.

Mengulas lanjut, Murugiah berkata, Khalid sepatutnya menghubungi beliau setelah mengetahui kehadirannya dan Devamany di bilik mayat.

"Beliau sepatutnya menghormati saya sebagai timbalan menteri dan menghubungi saya setelah mendapat tahu kami berada di situ, bukan mengeluarkan kenyataan sedemikian seolah-olah saya ini penjenayah.

"Sebagai seorang timbalan menteri yang bertanggungjawab bagi Biro Pengaduan Awam... saya berhak berada di situ," katanya.

Ditanya sama ada beliau telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, Murugiah berkata, hal itu tidak timbul kerana beliau hanya diperlukan sebagai saksi.

"Saya telah maklumkan perkara ini kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok dan beliau akan membawa perkara ini dalam mesyuarat kabinet akan datang.

"Jika mereka mahu panggil saya, mereka perlu mengikut protokol.

"Kita ada Menteri Dalam Negeri dan timbalannya, malah Ketua Polis Negara juga boleh menghubungi saya," katanya.

Murugiah berkata, beliau juga akan mengemukakan rayuan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya 50 orang termasuk ahli keluarga Kugan yang dikatakan membuat kacau di luar bilik mayat pada awal pagi itu tidak dikenakan tindakan.

"Saya akan merayu kepada Peguam Negara, mungkin selepas Tahun Baru Cina ini supaya mereka tidak dikenakan tindakan.

"Mereka bukan membuat kacau. Kita kena faham, kalau ada saudara-mara kita yang diperlakukan sedemikian, tidakkah kita sedih dan beremosi?

"Mereka berada dalam keadaan tertekan dan sebab itulah kami (beliau dan Devamany) berada di sana untuk menenangkan mereka," katanya.

Semalam, Peguam Negara telah meminta polis mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh bagi tujuan penyiasatan.

Abdul Gani berkata, beliau menyatakan cadangan itu kepada Timbalan Ketua Polis, Tan Sri Ismail Omar setelah meneliti kertas siasatan dan gambar mayat Kugan.

Kugan, 22, mati dalam tahanan pada pukul 11 pagi Selasa lalu setelah direman sejak minggu lalu kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah. - Mstar

No comments:

Post a Comment