04 January 2009

Bukan berpuaka tetapi pemandu cuai - Polis

KOTA BHARU - Berpuaka atau leka? Itulah yang diperkatakan orang ramai yang menggelarkan kawasan Bukit Sejuk di Gua Musang sebagai 'berpuaka' dan medan maut.

Statistik pihak polis menunjukkan terdapat 44 kemalangan berlaku sepanjang tahun 2008 di daerah Gua Musang dan daripada jumlah tersebut sebanyak 32 kemalangan terjadi di kawasan Bukit Sejuk.

Kemalangan di sekitar kawasan Bukit Sejuk sepanjang tahun lalu meragut enam nyawa manakala lima mengalami cedera parah.

Tragedi yang mengakibatkan 10 maut kelmarin adalah yang terburuk.

Percaya atau tidak, dalam tempoh lima hari sahaja Kilometer 21, Jalan Gua Musang- Kuala Krai berhampiran Bukit Sejuk telah mengorbankan 12 orang pengguna jalan raya.

Pada 28 Disember lalu, hanya beberapa ratus meter dari tempat kemalangan, dua buah kereta dari arah bertentangan bertembung menyebabkan dua beradik maut manakala dua lagi parah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritenden Ahmad Termizi Abd. Haq, bagaimanapun menolak sebarang tanggapan bahawa kawasan itu berpuaka.

Beliau sebaliknya berpendapat, kecuaian pemandu sendiri merupakan penyebab utama kepada berlakunya kemalangan di sepanjang jalan itu.

Cara pemanduan yang tidak selamat ditambah pula dengan faktor cuaca menjadikan kawasan jalan sekitar Bukit Sejuk terdedah kepada kemalangan.

Jelasnya, ada juga pemandu yang mengambil kesempatan memecut kenderaan di kawasan itu kerana keluasan jalan tersebut yang dianggap selesa. - Kosmo

* Pihak berkuasalah yang lebih bersalah kerana tidak mengambil langkah yang berkesan mengelakkan kemalangan di situ. Letak jawatan jika tidak sanggup pikul amanah.

No comments:

Post a Comment