Majlis Tertinggi (MT) Umno malam ini membuat keputusan memecat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim dari parti itu berkuat kuasa serta merta. Tindakan itu diambil ekoran tindak tanduk Zaid yang dikatakan melanggar disiplin parti.
Bagaimana pun tindakan itu mungkin tidak mengejutkan bekas Menteri berkenaan kerana beliau sudah dapat membayangkan apa yang berlaku apabila beberapa hari ini ramai pemimpin Umno memperkatakan dan mempertikaikan mengenai tindakannya mengadakan pendekatan politik dengan pembangkang.
Semasa MT sedang mengadakan mesyuarat bermula jam 9:00 malam kebetulan saya bersama Zaid Ibrahim dalam satu satu siri pertemuan khas dengan bekas Ketua Bahagian Umno Kota Bharu itu di sebuah hotel di ibu negara.
Semasa pertemuan itu Zaid sudah membayangkan tindakan akan bakal dikenakaan ke atasnya. "Tetapi terus terang saya jelaskan kepada you saya tidak akan merasa apa-apa kalau saya dipecat," katanya sambil menambah; "saya hairan kenapa ada pemimpin Umno mempersoalkan tindakan saya, padahal siapakah saya," begitulah katanya.
Ditanya apakah beliau akan menyesal jika beliau diambil tindakan dipecat daripada parti berkenaan, Zaid menjelaskan; "Mungkin untuk saya kata mujur dengan tindakan itu tidak boleh, tetapi yang jelasnya saya tidak merasa apa-apa kalau saya dipecat," katanya.
Zaid menjadi isu kalangan Umno apabila beliau telah menghadiri majlis makan malam bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sewaktu beliau bercuti di Penang dan tiga hari lepas menghadiri perasmian kongres Parti Keadilan Rakyat di Shah Alam.
Bagi Zaid kehadiran beliau di dua majlis itu tidak mempunyai apa-apa agenda politik melainkan sekadar memenuhi jemputan kawan-kawannya saja. "Kalau hendak dikira apalah salahnya tetapi ia tidak boleh dan haram dalam politik Umno," katanya sinis.
"Biarlah mereka pecat saya, tidak mengapa.... lagi pun saya tidak selesa berada dalam parti yang berfikiran demikian..." tambah lagi.
Dalam kesempatan itu bila ditanya apakah beliau kana menyertai mana-mana parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat seperti mana digossipkan, Zaid menjelaskan buat masa ini beliau tidak akan membuat apa-apa keputusan dan akan memikirkan kemudian.
"Bila sampai masa nanti saya akan memilih mana-mana parti yang dekat dengan sanubari saya bagi meneruskan perjuangan saya. Buat masa ini berikan saya sedikit masa menenentukannya," katanya.
Interviu sepenuhnya dengan Zaid yang menceritakan kenapa sebab sebenar beliau melepaskan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh diikuti dalam akhbar Siasah minggu depan. - MsoMelayu
No comments:
Post a Comment