KUALA LUMPUR 22 Dis. - Usaha sedang dilaksanakan bagi membolehkan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia yang dilaporkan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Britain, kembali ke tanah air.
Seorang pegawai Kementerian Luar di Putrajaya berkata, tumpuan utama usaha itu adalah untuk membekalkan maklumat serta memberi bimbingan dan menggesa mereka supaya kembali ke Malaysia, sebelum pihak berkuasa Britain mengambil tindakan lanjut.
Beliau yang enggan mendedahkan identitinya berkata, perkara ini sedang dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London bagi membantu mereka untuk kembali ke tanah air.
"Mereka tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan ia adalah perbuatan salah. Kami hanya beritahu mereka mengenai akibatnya (jika tinggal lebih dari tempoh)," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, Kementerian Luar dan pihak berkuasa Britain sedang berbincang mengenai cara terbaik untuk mengenal pasti berapa ramai dari kalangan mereka yang sudah kembali ke tanah air.
Selain itu, beliau berkata, perbincangan juga sedang berlangsung antara pihak berkuasa yang berkaitan, berhubung cara terbaik bagi mengelak daripada masalah yang sama berulang pada masa hadapan.
Ketika ini pelawat dari Malaysia ke Britain menikmati perjalanan bebas visa selama enam bulan, dan kumpulan yang memerlukan visa ketika ini adalah kalangan yang merancang untuk tinggal lebih lama dari tempoh enam bulan, sama ada untuk belajar atau bekerja.
Bulan lepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, kira-kira 271,000 rakyat Malaysia memasuki Britain setiap tahun.
Atase imigresen di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Zahari Abdul Aziz pula sebelum ini dilaporkan berkata, bagi mereka yang tinggal lebih dari tempoh yang dibenarkan di Britain, sebaik sahaja kembali, mereka tidak akan dibenarkan untuk memohon bagi mendapatkan pasport baru dalam tempoh dua tahun, tetapi bagi kes perubatan atau sebab tertentu, mereka masih boleh merayu kepada Ibu Pejabat Imigresen.
Sementara itu Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, beliau menerima banyak panggilan telefon berhubung masalah rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Britain.
Beliau berkata, ramai yang sanggup kembali ke tanah air, namun terpaksa memikirkan semula keputusan itu selepas memikirkan apabila pulang, mereka tidak akan dapat memohon bagi mendapatkan pasport baru bagi tempoh dua tahun.
Chong berkata, kebanyakan mereka merantau ke Britain untuk bekerja dan mereka diterima ramai penduduk tempatan disebabkan sifat rajin yang ditunjukkan, malah ada yang sudah berumahtangga dan memiliki keluarga di sana.
"Saya ingin benar bertanya, mengapa peraturan ini (tidak boleh memohon pasport bagi tempoh dua tahun) perlu diwujudkan. Sepanjang pengetahuan saya peraturan ini tidak ada di negara-negara lain," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, sekiranya ada antara mereka yang didapati melakukan sebarang perbuatan jenayah di Britain, tindakan perlu diambil terhadap mereka.
Chong berkata, beliau ingin mendapatkan maklumat daripada Suruhanjaya Tinggi Britain di sini mengenai berapa ramai daripada 30,000 rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Britain itu yang didapati pernah melakukan jenayah serius.
Katanya, beliau akan membawa isu mengenai pasport itu untuk dibincangkan dengan Kementerian Luar. - Utusan
* Mat Sabu pernah kata Malaysia masih guna undang-undang Jakun. Jangan salahkan mereka jika tidak mahu pulang.
No comments:
Post a Comment