01 December 2008

Syed Alwi meninggal dunia kerana jatuh, bukan disamun

PETALING JAYA: Polis dan anggota keluarga menolak punca kematian Tokoh Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan, yang ditemui mati di kediamannya di Kampung Sungai Serai, Rawang dekat sini malam tadi, adalah disebabkan samun dan serangan.

Allahyarham Syed Alwi, 78, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pukul 2 petang.

Terdahulu pukul 1.30 tengah hari tadi, jenazah Syed Alwi disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail.

Kira-kira 150 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada keluarga Allahyarham.

Antara artis yang hadir ialah Sabri Yunos, Rozita Mahmud, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Rahim Razali, Zulhaila Siregar dan Ellie Suriati.

Sementara itu, anak Allahyarham, Norsham Syed Alwi ketika dihubungi mStar Online berkata, arwah ayahnya meninggal dunia disebabkan penyakit vertigo.

Dia juga mengesahkan tokoh seniman negara itu, terhantuk sebelum terjatuh di rumahnya kelmarin.

Norsham juga menafikan Syed Alwi disamun.

Pihak polis juga menolak elemen perbuatan khianat kerana bedah siasat menunjukkan kesan lebam kemungkinan disebabkan jatuh.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Hasnan Hassan berkata, Allahyarham Syed Alwi meninggal dunia kerana jatuh dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Kesan lebam dan calar di tubuh mangsa adalah disebabkan gigitan serangga," katanya.

Kata beliau, pihaknya sedang membuat pemeriksaan dan siasatan susulan memandangkan terdapat banyak ubat di rumahnya.

"Badan mangsa tiada kesan diserang pihak tertentu," katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar berkata, arwah merupakan salah seorang yang mendidiknya selepas Datuk Rahim Razali melibatkan diri Tarmimi dalam dunia pementasan.

"Melalui arwah, saya banyak berlakon teater seperti Alang Retak Seribu, Tok Perak dan banyak lagi.

"Beliau bukan sahaja seorang guru malah rakan sekerja yang unik, suka berterus terang.

"Apa yang saya perasan, perangai beliau sama seperti saya iaitu suka 'cakap lepas' dan tidak hipokrit," ujar Tarmimi yang kali terakhir berjumpa dengan arwah ketika sebulan lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Tambah Tarmimi, arwah seolah-olah yang beliau akan pergi tidak lama lagi apabila menyerahkan skrip Tok Perak yang sudah dicetak kepada Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

"Beliau ada meminta saya berlakon dalam Tok Perak yang bakal dipentaskan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Jadi, saya agak terkejut dengan pemergiannya. Beliau tak sakit tetapi pernah dimasukkan ke hospital sekejap," kata Tarmimi yang mengetahui berita kematian menerusi SMS Norsham semalam.

Tarmimi masih meluangkan waktu melawati jenazah Syed Alwi walaupun sedang menjalani pengambaran telefilem Tak Sama Tapi Tak Serupa untuk TV3 hari ini. = mstar

No comments:

Post a Comment