11 December 2008

Pindaan AUKU beri lebih kuasa autonomi di universiti

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Lebih banyak kuasa autonomi akan diberi kepada pihak universiti ekoran pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dibacakan buat kali kedua pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira sejuta penuntut dan kakitangn di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Rang Undang-Undang yang dicadangkan itu akan menambah baik autonomi universiti yang dilaksanakan dengan memindahkan beberapa kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menteri kepada pihak berkuasa universiti antaranya terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Naib Canselor.

‘‘Melalui Rang Undang-Undang ini, kuasa untuk menubuhkan fakulti dan jabatan yang dahulunya berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong diberikan kepada Senat. Pindaan ini adalah selaras dengan fungsi Senat sebagai badan utama akademik di universiti,” katanya ketika membentangkan kali kedua pindaan Rang Undang-Undang itu hari ini.

Selain itu, katanya, kuasa menteri dalam hal ehwal rayuan tatatertib pelajar universiti juga dipindahkan kepada Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar universiti yang keanggotaannya akan ditentukan oleh LPU dan langkah tersebut akan dapat mempercepatkan proses penyelesaian sesuatu kes rayuan.

‘‘Selain itu kebenaran untuk memungut wang oleh pelajar yang dahulunya terletak di bawah bidang kuasa menteri juga dipindahkan kepada Naib Canselor dan ini akan dapat mempercepatkan proses kelulusan permohonan oleh universiti,” ujarnya.

Mohamed Khaled memberitahu, pindaan yang dicadangkan terhadap AUKU akan mendorong kepada pemantapan tiga aspek utama iaitu tadbir urus universiti, kebajikan dan hak asasi pekerja universiti serta kebajikan dan hak asasi pelajar universiti.

Katanya, pindaan itu dilakukan ekoran perkembangan semasa bidang pendidikan tinggi termasuk di peringkat antarabangsa dan juga kematangan pelajar dalam menangani erti kebebasan dan kepelbagaian selain komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau.

Pada masa ini terdapat 500 IPTS dan 20 institusi IPTA yang tertakluk di bawah AUKU 1971.

Menurut Mohamed Khaled, prinsip yang akan diterapkan dalam penambahbaikan kepada tadbir urus universiti adalah merangkumi membudayakan proses perundingan secara demokrasi, menggalakkan keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti serta menambah baik autonomi universiti.

‘‘Proses perundingan secara demokrasi akan menjadi asas kepada sebarang pelantikan jawatan utama di universiti seperti Naib Canselor, pemilihan keanggotaan Senat, pelantikan Ketua Kampus, Dekan, Ketua Sekolah, institut, pusat dan akademi sesebuah universiti.

‘‘Bagi pelantikan Naib Canselor, ia akan dibuat oleh menteri selepas melalui proses pemilihan oleh jawatankuasa yang ditubuhkan oleh menteri dan juga selepas menteri berunding dengan LPU,” katanya.

Langkah itu, katanya, akan memastikan ketelusan dalam proses pemilihan tersebut dan hanya calon yang berkaliber, mempunyai ciri kepimpinan unggul, kelayakan istimewa, berpengetahuan dan mempunyai pengalaman serta jaringan hubungan yang luas akan mengisi jawatan tersebut.

Dalam pada itu, menurut Mohamed Khaled, pindaan tersebut akan membenarkan pelajar untuk bersekutu atau menjadi ahli sesuatu pertubuhan sama ada dalam negara atau luar negara kecuali dengan parti politik, pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan pertubuhan yang tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar. - Utusan

No comments:

Post a Comment