04 December 2008

Pensyarah Dan Pelajar UiTM Maut Dalam Kemalangan Di New Zealand

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Falkuti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan seorang penuntut perempuan institusi pengajian tinggi itu maut dalam kemalangan jalan raya di New Zealand Rabu.

Shafiee Ahmad, 51, dan Mariyam Sakinah Ahmad, 21, berada di New Zealand sejak Rabu lepas untuk lawatan sambil belajar.

Kemalangan itu turut menyebabkan empat yang lain cedera.

Bagaimanapun setakat ini maklumat terperinci mengenai kemalangan serta identiti dan keadaan mereka yang cedera itu tidak diperoleh.

Penolong Naib Canselor Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Prof Madya Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman ketika dihubungi Bernama, berkata kedua-dua mangsa itu menyertai lawatan sambil belajar selama 10 hari ke universiti-universiti di New Zealand di samping menyiapkan projek fotografi di sana.

Mariyam Sakinah yang berasal dari Kampung Pinang Jawa, Kuching Sarawak adalah pelajar tahun dua, jurusan penyiaran, katanya.

Beliau berkata berkata rombongan itu disertai sembilan orang terdiri daripada empat pensyarah dan lima pelajar jurusan Komunikasi Massa.

"Mereka bertolak ke New Zealand Rabu lepas dan dijangka kembali ke tanah air Jumaat ini.

"Saya difahamkan mayat mereka kini berada di hospital di Auckland," katanya.

-- BERNAMA

1 comment:

  1. Pembetulan, jenazah pensyarah dan pelajar tersebut kini berada di Hospital Waikato.

    ReplyDelete