KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Meskipun Malaysia dan Iran berpuas hati dengan hubungan dua hala yang cemerlang, masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan pertalian perniagaan antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.
"Kami berpendapat masih banyak yang boleh kami lakukan dengan Iran, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan; pendidikan; kewangan dan perbankan; minyak dan gas; sains dan teknologi serta pelancongan," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.
Iran adalah rakan dagang di Timur Tengah ketiga terbesar Malaysia dengan dagangan berjumlah RM3.59 bilion pada 2007. Iran juga pengimport utama minyak sawit dari Malaysia dengan import berjumlah RM780 juta tahun lepas.
Sehingga kini, syarikat Malaysia seperti Petronas, Proton, SKS Ventures Sdn Bhd dan Amona Group of Companies telah melaksanakan projek dalam pembangunan infrastruktur, perumahan, pembinaan jalan, minyak, gas dan industri automobil di Iran.
Rais berkata Malaysia ingin menjalin kerjasama yang lebih baik dengan Iran dalam bidang kewangan dan perbankan sebagai mekanisme untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara.
"Kami turut mencadangkan supaya institusi perbankan di kedua-dua negara menimbang kerjasama dalam perbankan Islam. Kami turut memberi kelulusan kepada Bank Mellat dari Iran untuk memperoleh lesen perbankan luar pesisir dan menubuhkan sebuah cawangan di Labuan.
"Kami harap pembukaan cawangan Bank Mellat di Labuan akan terus meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan kerjasama antara kedua-dua negara," katanya.
Rais menegaskan terdapat keperluan bagi memastikan bank berkenaan hanya terbabit dalam tujuan yang dihasratkan itu - ekonomi dan dagangan.
Mengenai permohonan Iran untuk menjadi rakan sektoral Asean, beliau berkata permohonan itu tidak dapat dipertimbangkan sehingga akhir 2008 disebabkan oleh penangguhan terhadap rakan sektoral baru.
"Iran seharusnya mengemukakan bidang kerjasama yang khusus sekiranya mereka berminat menjalin kerjasama dengan Asean dan mengambil langkah untuk membangkitkan perkara itu kepada anggota lain Asean dan Setiausaha Agung Asean," katanya.
-- BERNAMA
* Tindakan yang sangat baik mengadakan hubungan perniagaan dengan Iran
No comments:
Post a Comment