26 December 2008

Lan Pet Pet mangsa rompakan RM3,000

ALOR STAR: Pelakon dan pelawak terkenal, Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, kerugian kira-kira RM3,000 apabila cermin kereta Proton Perdana miliknya dipecah ketika diletakkan di hadapan rumah mentuanya di Taman Mawar, awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 5 hingga 7 pagi, ketika Lan dan ahli keluarganya sedang tidur. Kejadian hanya disedari selepas dimaklumkan oleh jiran kira-kira jam 10 pagi.

Mazlan, 39, berkata dua beg mengandungi pelbagai barang miliknya dilarikan.

"Barang seperti tasbih, duit RM20 pemberian ibu dan bapa ketika saya belum bergelar artis yang saya simpan hingga kini, surah Yasin serta wang tunai 1,500 riyal (RM1,386) ada dalam beg itu," katanya di sini semalam.

Beliau berkata dia baru selesai menjalani penggambaran filem di sekitar Perlis dan Kedah dan tiba di rumah mentuanya kira-kira jam 5 pagi semalam.

"Telefon bimbit milik saya turut hilang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.

"Kami masih menyiasat mengenai dakwaan itu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya. - Bharian

No comments:

Post a Comment