SUBANG JAYA: Seorang kerani sebuah syarikat swasta hilang sebatang gigi selepas tersungkur di jalan raya ketika bergelut dengan peragut di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, wanita berusia 20-an itu ditolak suspek selepas cuba mempertahankan beg tangannya daripada dilarikan.
Kudrat mangsa bagaimanapun belum cukup kuat untuk menewaskan penjenayah dan terpaksa merelakan beg tangannya dilarikan.
Mangsa yang trauma dengan kejadian itu gagal mengecam wajah dua penjenayah yang meragutnya itu.
Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian.
“Tiba-tiba datang dua lelaki menaiki motosikal daripada belakang terus meragut beg tangannya.
“Kerani yang terkejut itu cuba menarik kembali beg tangannya lalu berlaku tarik menarik dengan suspek,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, dalam pergelutan itu, wanita berkenaan tersungkur ke jalan raya menyebabkan gigi patah dan bibir pecah.
Menurutnya, penjenayah terbabit terus melarikan diri dan meninggalkan mangsa yang dalam kesakitan di situ.
“Sebuah kereta peronda yang melakukan tugas rondaan cegah jenayah menemui wanita terbabit dan membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis,” katanya. - Mymetro
No comments:
Post a Comment