26 December 2008

Kerajaan Negeri Tidak Pernah Sekat Pembangkang Ke Sarawak

KUCHING, 26 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak pernah menyekat ataupun menghalang mana-mana pemimpin pembangkang dari Semenanjung untuk datang ke Sarawak, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman.

Beliau berkata sebelum ini, pemimpin pembangkang seperti Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang bebas untuk datang ke Sarawak tanpa sebarang masalah.

Kejadian Anggota Parlimen Padang Serai daripada PKR, N. Gobalakrishnan dihalang daripada memasuki negeri ini pada Rabu lepas adalah atas kuasa Jabatan Imigresen dan insiden itu tidak melibatkan mana-mana pemimpin politik Barisan Nasional (BN) di Sarawak, kata Daud.

"Kita tidak pernah sekat pembangkang masuk. Kita benarkan semua orang datang kecuali jika Jabatan Imigresen yang mengambil tindakan sekatan tersebut kita tidak boleh buat apa-apa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Industri Desa Malaysia dan Pameran Mesin IKS Antarabangsa Sarawak 2008 di sini hari ini.

Daud berkata Jabatan Imigresen melalui akta yang sedia ada mempunyai sebab dan alasan tertentu menyekat seseorang daripada memasuki negeri ini, termasuk perkara yang berkaitan dengan keselamatan.

Beliau berkata kerajaan negeri Sarawak tidak pernah gentar dengan kehadiran pemimpin pembangkang ke negeri ini yang begitu ghairah untuk menawan Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang.

Gobalakrishnan mendakwa beliau dihalang masuk ke Sarawak pada Rabu lepas oleh Jabatan Imigresen Sarawak atas arahan kerajaan negeri setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan terpaksa balik semula ke ibu negara pada hari yang sama.

Terdahulu, ketika berucap, Daud menggesa usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini meluaskan pasaran mereka selain menggunakan kemudahan teknologi untuk meningkatkan lagi pengeluaran produk masing-masing.

Katanya usahawan IKS juga perlu memastikan produk mereka menepati piawaian antarabangsa jika mahu menembusi pasaran luar negara.

"Masih banyak lagi peluang dan potensi yang tidak digunakan sepenuhnya oleh usahawan IKS dan kita yakin peluang pasaran kita masih lagi luas dan belum diterokai sepenuhnya," kata Daud.

-- BERNAMA

* Tidak masuk akal langsung kerana Gobala MP. Ada pihak salah guna kuasa?

No comments:

Post a Comment