20 December 2008

Keluarga Noor Suzaily puas hati

KANGAR: Keluarga Allahyarham Noor Suzaily Mukhtar berpendapat proses undang-undang sudah ditegakkan apabila pembunuh gadis itu, Hanafi Mat Hassan, digantung, semalam.

Bapa Noor Suzaily, Mukhtar Ibrahim, 63, berkata pihaknya menanti selama lapan tahun untuk memastikan tertuduh yang didapati bersalah merogol dan membunuh anak perempuan tunggalnya itu menjalani hukuman terbabit.

"Kami bersyukur hukuman terbabit dilaksanakan juga, walaupun agak terlewat. Saya yang merasai kesengsaraan berikutan kematian Noor Suzaily hanya mampu menyatakan hukuman sudah ditegakkan.

"Jabatan Penjara tidak memaklumkan kepada saya mengenai pelaksanaan hukuman itu. Allahmdulillah...apabila saya mendengar perkara ini daripada anda (wakil Berita Harian) hari ini (semalam)," katanya yang ditemani isterinya, Harison Husin, 58, ketika ditemui di rumahnya di Taman Suraini, di sini.

Ditanya sama ada berpuas hati dengan hukuman itu, beliau berkata:

"Bagi saya kepuasan hanya timbul apabila saya sendiri berada di tempat hukuman dan dibenarkan menekan butang bagi melaksanakan hukuman ke atas Hanafi," katanya.

Mukhtar berkata, pihaknya tidak menyimpan sebarang dendam ke atas keluarga Hanafi kerana mereka tidak bersalah dan biarlah yang bersalah menjalani hukuman.

"Dalam hati ini Tuhan saja yang tahu apabila disebut nama Hanafi. Perasaan marah tetap ada. Saya tidak berupaya untuk memaafkan perbuatan ganas dan kejamnya ke atas Noor Suzaily," katanya. - Bharian

No comments:

Post a Comment