25 December 2008

Jangan dikomersialkan kenduri kahwin - Nooh

JOHOR BAHRU 23 Dis. - Majlis perkahwinan tidak sewajarnya dikomersialkan seolah-olah menjadi satu perniagaan besar-besaran yang mengutamakan keuntungan.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot berkata, trend majlis perkahwinan artis yang ditaja pihak korporat, wajar diperhalusi supaya tidak lari daripada matlamat sebenar diadakan majlis itu.

"Tidak wajar jika pihak yang menaja majlis perkahwinan itu bermatlamat semata-mata mendapatkan keuntungan melampau, misalnya menerusi penajaan iklan dan hak penyiaran.

"Bagaimanapun, jika ada unsur sukarela, kerjasama dan tolong menolong antara kedua belah pihak, tanpa wujud kepentingan perniagaan atau peribadi yang berlebihan dan bukannya untuk ambil kesempatan, maka ia dibolehkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini

Beliau berkata demikian bagi mengulas trend perkahwinan artis tempatan yang diadakan secara besar-besaran dan mendapat tajaan pihak korporat, malah disiarkan secara langsung di televisyen.

Tanpa merujuk kepada mana-mana artis, Nooh berkata, penajaan pihak korporat dalam majlis perkahwinan yang bertujuan memenuhi tanggungjawab sosial dengan mengadakan jamuan makan kepada orang ramai dan meraikan pasangan pengantin juga diharuskan.

Katanya, matlamat diadakan majlis perkahwinan adalah mengumumkan atau memberitahu orang ramai tentang hubungan perkahwinan sah antara pasangan pengantin bagi mengelakkan fitnah.

Beliau berkata, kenduri diadakan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah dan untuk berterima kasih kepada saudara mara serta rakan-rakan yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraan perkahwinan itu.

Katanya, majlis perkahwinan secara besar-besaran dibolehkan sekiranya mempunyai kemampuan dan tidak berniat untuk bermegah.

"Bagaimanapun, dalam apa pun perkara, yang terbaik adalah melakukannya dengan penuh kesederhanaan.

"Berjimat cermat, perlu sederhana, jangan sampai jadi bakhil dan jangan pula boros berlebihan sehingga membazir," katanya. Utusan

* Ni mesti kata pada Mawi. Orang hendak bagi duit banyak, takkan nak tolak kot...

No comments:

Post a Comment