SHAH ALAM 18 Dis. - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini menegur bekas isteripengacara Akademi Fantasia, AC Mizal yang seolah-olah memakai pakaian umpama
hendak pergi berperang ketika menghadiri prosiding di hadapan beliau pagi ini.
Dengan nada lembut dan berkias, hakim syarie Saarani Ismail berkata: ``Pakailah
pakaian yang sesuai ketika masuk ke Mahkamah Syariah. Peguam syarie pula
sepatutnya menegur anak guam masing-masing dan mintalah mereka menyalin pakaian.
Lagipun prosiding hanya bermula pukul 9 pagi dan sempat untuk menukar pakaian yang
lebih sesuai.
``Ini bukan hendak pergi shooting (pengambaran). Pakaian begini, pakai baju di dalam
ada di luar pun ada, macam pakaian hendak pergi berperang,`` tegur Saarani.
Shafnie Zainudin, 33, yang diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais menghadiri
prosiding dengan memakai kemeja lengan panjang putih berjalur hitam dan memakai
vest kelabu yang agak sendat yang tidak menutupi bahagian punggung serta berseluar
hitam.
Dalam prosiding hari ini, defendan AC Mizal yang nama sebenarnya Mizal Zaini, 37,
dan peguam syarie, Siti Aishah Din masing-masing tidak hadir ke mahkamah. Namun
begitu, Siti Aishah melalui surat yang difakskan kepada mahkamah menyatakan, beliau
akan pulang ke Kuala Lumpur hari ini selepas menghadiri majlis pentauliahan peguam
syarie di Perlis.
Mahkamah menetapkan 13 Januari 2009 untuk membuat keputusan bantahan awal yang
ditimbulkan oleh AC Mizal berhubung permohonan Shafnie agar satu perintah komital
dikeluarkan bagi menghantar defendan ke penjara. Ini kerana, Shafnie mendakwa AC
Mizal telah gagal menjelaskan tunggakan nafkah dua anak lelaki mereka berjumlah
RM50,000. - Utusan
No comments:
Post a Comment