27 December 2008

Empat penyamun bermaharajalela

KUALA LUMPUR – Lapan kejadian samun dilakukan empat lelaki bersenjatakan parang dalam tempoh empat jam di kawasan Jinjang di sini kelmarin.

Difahamkan, kesemua lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira tersebut bertindak ganas menyamun setiap mangsa di tepi jalan termasuk menyerang sebuah keluarga yang sedang beristirehat di rumah mereka.

Kejadian itu yang bermula pukul 7 malam dan berakhir empat jam kemudian turut mengakibatkan seorang belia lelaki berusia dalam lingkungan 20-an cedera di lutut kanan akibat ditetak samseng berkenaan.

Satu sumber memberitahu, sebelum itu remaja tersebut cuba mengekori kereta yang dinaiki suspek selepas ternampak mereka menyamun seorang lelaki di tepi jalan.

Katanya, belia itu kemudian telah menghubungi polis mengatakan suspek menghala ke sebuah kawasan perumahan tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila tindakannya itu dapat dihidu kumpulan penyamun.

“Suspek yang telah perasan tindakan belia tersebut menghentikan kereta lalu menyerangnya dengan menetak lutut mangsa sebelum melarikan barang berharga miliknya.

“Mangsa kemudian meminta bantuan rakannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Jinjang,’’ kata sumber itu di sini semalam.

Sebelum mangsa diserang, suspek memasuki sebuah rumah dan menyerang penghuninya yang sedang berehat sempena cuti Krismas.

Menurut sumber itu, selepas itu, empat penyamun berkenaan semakin menggila dengan menyamun tujuh lagi mangsa di kawasan tersebut menyebabkan Balai Polis Jinjang yang aman bertukar kecoh ekoran kejadian itu. - Kosmo

* Suasana ini adalah satu tanda pemerintahan yang sangat lemah

No comments:

Post a Comment