31 December 2008

Cubaan ragut wang RM50,000 gagal

TEMERLOH 30 Dis. – Tindakan pantas orang ramai berjaya menghalang seorang penjenayah melarikan wang tunai RM50,000 yang diragut daripada seorang pekerja wanita sebuah pasar raya di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supritendan Ahmad Zulmazi Che Daud berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, seorang lelaki berusia 24 tahun merentap beg tangan seorang pekerja pasar raya selepas berpura-pura bertanya arah jalan.

Katanya, penjenayah itu tidak bernasib baik apabila ia disedari oleh beberapa pemuda yang kebetulan berada di situ lalu mengejar dan berjaya memberkas suspek yang dikepung kira-kira 15 orang awam.

“Ketika kejadian, pekerja wanita terbabit berjalan menuju ke sebuah bank yang terletak kira-kira 100 meter dari pasar raya berkenaan untuk memasukkan wang hasil perniagaan majikannya.

“Tiba-tiba datang suspek yang bersenjatakan sebilah pisau lalu merentap beg berisi wang RM50,000 selepas berpura-pura bertanyakan arah jalan kepada mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zulmazi, selepas berjaya menahan suspek, orang ramai kemudian menyerahkannya kepada polis.

Tambahnya, suspek berasal dari Ipoh dipercayai bertindak demikian akibat terdesak kerana tidak mempunyai wang dan datang ke Temerloh untuk mencari kerja.

Menurutnya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan samun bersenjata.

No comments:

Post a Comment