Timbalan Presiden Umno diberi tanggungjawab buat pengumuman KUALA TERENGGANU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan nama calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu minggu depan.
Najib yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan tanggungjawab mengumumkan nama calon pilihan raya kecil itu kepadanya.
"Presiden (Abdullah) menyerahkan kepada saya untuk umum (calon). Insya-Allah bila saya datang minggu depan (saya akan umumkan). Minggu ini, tak nak umum calon sebab agenda kita adalah melancarkan jentera pilihan raya," katanya.
Beliau berucap melancarkan jentera pilihan raya Kuala Terengganu dan menutup Pemukiman Umno Terengganu di Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.
Pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu akan diadakan pada 17 Januari tahun depan selepas penamaan calon pada 6 Januari. Pilihan raya kecil itu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu, yang menyandang kerusi itu sejak Mac 2008.
Bercakap pada sidang media selepas majlis penyerahan royalti minyak bagi separuh kedua 2008 kepada Kerajaan Terengganu bernilai RM408.6 juta di Stadium Negeri di sini, Najib berkata, beliau sudah menerima senarai calon bagi pilihan raya kecil itu.
Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu ialah Ketua Umno Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Nama lain ialah Timbalan Ketua Umno Kuala Terengganu, Mohd Sabri Alwi; Bendahari Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Roslan Awang Chik; bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh dan Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pelajaran negeri, Zuber Embong.
Sementara itu Najib berkata, kemenangan BN pada pilihan raya kecil itu sangat penting sebagai bukti kebangkitan BN selepas kekalahan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ogos lalu.
Katanya, kemenangan itu juga penting untuk masa depan parti kerana ia memberi isyarat bahawa rakyat Malaysia tetap memilih BN sebagai wadah untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.
"Ia adalah pilihan raya yang kita tak boleh kalah, kita mesti menang dan jadikannya sebagai titik permulaan untuk Umno kembali bangkit daripada kekalahan selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya.
Najib berkata, soal siapa calon dipilih bukan perkara paling utama sebaliknya komitmen setiap ahli dan jentera parti dalam memenangkan Umno dan BN.
"Jika nak menang, kita mesti buat cara nak menang. Kita mesti faham bahawa dalam masa pilihan raya yang penting bukan jentera Umno, bukan juga ketua cawangan tetapi pengundi kerana mereka adalah raja ketika pilihan raya.
"Sesiapa saja jadi calon tak penting tapi yang utama dia mestilah seorang yang merendah diri, tidak sombong, mesra rakyat, bersalam dengan semua orang. Buatlah cara yang disenangi pengundi kerana mereka juga akan sayang kita sebab perwatakan kita itu," katanya.
Selain itu, katanya, keinginan untuk memang bukan hanya perlu ada pada jentera parti sebaliknya pemimpin dan calon itu sendiri perlu bekerja keras dan tidak hanya meluahkannya melalui kata-kata sebaliknya perlu dibuktikan dengan kerjasama dan kesepakatan sesama ahli.
"Siapa nak kalah? Semua mahu menang tetapi kadang-kadang kita luahkan saja Umno akan menang atau saya nak menang tetapi amalan, perbuatan, tingkah laku kita tak cerminkan orang yang nak menang pilihan raya," katanya. - Bharian
* Bakal menyaksikan pertarungan lebih sengit daripada Permatang Pauh
No comments:
Post a Comment