28 December 2008

Azidi-Shalin kini suami isteri

KUALA LUMPUR - Dengan hanya sekali lafaz, bekas pemain boling negara, Azidi Ameran, 36, sah menjadi suami kepada ratu boling negara, Shalin Zulkifli, 30, pada majlis akad nikah di kediaman pengantin perempuan, Mutiara Damansara semalam, lapor FERZALFIE FAUZI.

Majlis yang berlangsung secara sederhana namun penuh beradat itu dihadiri keluarga pengantin lelaki dan juga sanak-saudara Shalin.

Bagi Azidi, 36, tiada kata-kata lain yang diucapkan selain berjanji akan menjaga Shalin sepenuh hati dan menyokong karier pemain profesional itu tanpa berbelah-bahagi.

''Saya tiada perancangan lain selepas ini melainkan memberi sokongan kepada Shalin dalam kejohanan boling profesional yang disertainya,'' katanya selepas dinikahkan oleh ayah Shalin sendiri, Zulkifli Mohd. Ali.

Malah jelasnya, dia tidak akan menghalang Shalin untuk menyertai mana-mana kejohanan profesional dan akan memberi sokongan habis-habisan.

''Saya berharap hubungan kami sebagai suami isteri akan terus bahagia dan keadaan sama sekali tidak berubah seperti kami berkawan dahulu,'' katanya yang berasal dari Shah Alam.

Azidi dan Shalin sudah berkawan baik sejak berusia 12 tahun dan melalui pahit manis bersama di dalam dan luar gelanggang boling selaku pemain boling negara.

Sementara itu Shalin yang menitiskan air mata ketika upacara akad nikah berkata, kehadiran Azidi bersamanya di Amerika Syarikat (AS) nanti akan memberi semangat tambahan kepadanya.

''Saya akan ke AS semula untuk kejohanan yang seterusnya dan berbulan madu di sana. Saya menganggap ini sebagai kehidupan baru buat saya yang perlu ditempuhi dengan Azidi dan berjanji akan menjadi isteri yang solehah,'' kata ratu boling negara itu.

Ditanya mengenai perancangan keluarga pula, Azidi turut berseloroh dengan mengatakan mungkin mereka mahukan dua orang anak.

Majlis pernikahan tersebut yang dihadiri 20 orang rombongan pengantin lelaki yang membawa lapan dulang hantaran berserta wang hantaran RM9,999.99, sementara pihak pengantin wanita pula membalas dengan 10 dulang hantaran.

Akad nikah itu juga turut disaksikan Pegawai Agama Daerah Petaling, Misari Hamdan.

Majlis persandingan Shalin dan Azidi akan berlangsung hari ini di Dewan Serbaguna, Menara TM dan dijangka ramai rakan seperjuangan mereka akan menghadirinya.

Olahragawati kebangsaan sebanyak lima kali itu (1997, 1996, 1994, 2001 & 2002) akan pulang semula ke AS untuk nanti menyertai kejohanan sirkit profesional Kejohanan Beregu Campuran Don & Paula Carten di Reno dan Kejohanan Klasik Earl Anthony Medford di Orlando. - Utusan

No comments:

Post a Comment