KUALA LUMPUR, 3 DIS 2008: Tiada apa yang boleh diungkapkan dari hati seorang ayah seperti Amy Search selain perasaan bangga dan terharu dengan keputusan anak sulungnya Nabila Huda, 24, yang kini sudah berumah tangga dengan jejaka pilihan hati, Zaidy Zailani, 27, pagi semalam.
Ketika memberi ucapan pada majlis resepsi kedua mempelai di Dewan Komuniti Bukit Damansara, di sini malam , penyanyi rock tersohor itu terlalu sebak dengan pengorbanan yang ditunjukkan Nabila terhadapnya.
Malah sebagai insan yang menjaganya sedari kecil hingga dewasa, Amy pasti akan berasa sepi akan 'kehilangan' Nabila yang kini sudah menjadi milik orang dan membina keluarga sendiri.
"Terus terang melepaskan seorang anak untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki adalah satu keputusan yang amat sukar. Bagaimanapun wujud perasaan gembira dan bersyukur yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
"Ya saya tentu akan berasa sunyi tetapi saya gembira kerana Nabila sekarang dalam jagaan suaminya yang juga anak menantu saya," katanya sehingga menitiskan air mata di hadapan tetamu yang hadir.
Majlis serba ringkas tetapi meriah itu diserikan dengan kehadiran teman artis antaranya M Nasir bersama isteri Marlia Musa, Datuk Yusof Haslam, Hattan, Que Haidar, Azwan Ali, Julie Dahlan, Ziela Jalil, Betty Banafe, Ijoi Azahari, Sharifah Shahirah, Ahmad Fedtri Yahya, Along Cham dan tunangnya Zila Seeron.
Dengan mengenakan persalinan rekaan Syaiful Baharim, Albert King dan Puri Pesona serta berlatar belakangkan pelamin indah rekaan Pak Abu, majlis dihiburkan dengan persembahan Izwan Pilus, Hattan, Kat Mentor, Hujan dan Hijjaz.
Istimewanya, majlis perkahwinan itu turut jatuh pada tarikh lahir Nabila yang ke-24. Lebih menarik dan bermakna, Amy sendiri bertindak selaku jurunikah untuk perkahwinan Nabila dan Zaidy di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada pagi semalam.
Malam tadi, Amy turut meluahkan isi hatinya kepada tetamu yang ternyata memberikan kesan cukup mendalam kepada kedua-dua merpati dua sejoli itu.
"Ingin saya beri tahu, sebagai seorang ayah saya bangga dengan Nabila. Di sebalik kenakalannya, Nabila seorang yang manja dan dia tidak pernah menggunakan nama saya untuk mengecapi dunia seninya.
"Meskipun dia sedar, dia seorang anak kepada Rockers Semelaya, tapi dia tidak pernah menggunakan nama saya untuk menaikkan namanya. Malah saya sering berpesan kepadanya, janganlah takut dengan kesilapan, jadilah kesilapan sebagai panduan hidup untuk masa depan.
"Kepada Zaidy, jangan lukakan Nabila dan jangan kasari dia. Dia seorang anak yang amat menghargai kasih sayang. Kerana dia cukup mengerti apa yang saya lalui," katanya sambil menitiskan air mata lagi.
Sementara itu, ibu kandung Nabila, Faridah Fadzil turut mendoakan kebahagiaan anaknya itu, selepas sekian lama menjalinkan hubungan yang terlalu lama bersama Zaidy.
"Doa saya cuma satu, agar mereka bahagia hingga ke akhir hayat dan sebagai ibu tentunya saya gembira. Sekarang Nabila sudah menjadi isteri orang dan saya harap dia akan semakin matang.
"Awalnya, ketika Nabila memberi tahu niat untuk berkahwin, saya terkejut. Tapi saya dapat merasakan Zaidy seorang lelaki yang baik dan dapat menjaga Nabila dengan sempurna," katanya yang turut terharu dengan ucapan bekas suaminya, Amy. - Murai
No comments:
Post a Comment