KUALA LUMPUR, 11 DIS 2008: Dalam keadaan industri muzik yang tidak menentu, kedudukan Saleem bagaimanapun masih ampuh. Album pertamanya bersama Music Valley Sdn Bhd berjudul Aku Saleem berjaya terjual sebanyak 13,000 unit sejak ia mula dipasarkan Ogos lalu, sekali gus mencatat kutipan yang cukup membanggakan.Bukan sesuatu yang menghairankan, kerana album berkenaan diterbitkan oleh Music Valley yang dikenali sebagai pengedar album terbesar dan memiliki lebih 100 cawangan premis muzik seluruh negara.
Malah ketika ditemui portal murai.com.my sempena pelancaran MTV Karaoke Aku Saleem di Hard Rock Cafe, di sini semalam, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Suci Dalam Debu itu turut gembira dengan pencapaian itu.
Bagaimanapun dia berpendapat strategi tersendiri yang digunakan oleh Music Valley dalam memasarkan albumnya adalah resipi utama kejayaan jualan albumnya itu.
"Mungkin dengan cara saya turun padang untuk bertemu peminat, ia dapat mendekatkan diri saya dengan peminat. Mereka bukan saja dapat membeli album saya, malahan secara tidak langsung dapat mengambil gambar dan mendapatkan tanda tangan saya.
"Ini adalah salah satu langkah yang cukup berkesan. Bukan maknanya sebelum ini saya tidak pernah turun padang bertemu peminat, tetapi tidak mencukupi. Kali ini saya cukup berpuas hati. Mungkin ini adalah cara paling berkesan untuk mempromosikan album seseorang artis," katanya.
Album Aku Saleem memuatkan sebuah lagu kontroversi yang ditulis oleh seorang banduan bertajuk Trilogi Cinta dan sebuah lagu ciptaan Eddie Hamid & Man Toba bertajuk Wanitaku.
Manakala MTV Karaoke Aku Saleem yang mula berada di pasaran semalam, merupakan kesinambungan kisah kepada album audio Saleem itu.
Saleem berkata, sepanjang sesi bertemu peminat yang diadakan di seluruh negara itu, dia cukup terharu apabila bukan saja menerima maklum balas yang cukup baik daripada peminat seusia dengannya, malahan sambutan menggalakkan daripada generasi muda.
Katanya, situasi itu secara tidak langsung menguatkan lagi semangatnya untuk terus aktif menyanyian dan meneruskan kontrak selama 5 tahun bersama Music Valley.
Menyentuh berkenaan kontraknya bersama Music Valley, Saleem berkata dia bakal tampil dengan sebuah album baru awal tahun hadapan yang memuatkan beberapa lagu baru dan 'cover version'.
Sementara itu Pengurus A & R Music Valley, Dexter Koh, berkata bagi memastikan nama Saleem terus diminati, pihaknya akan melahirkan 2 album setahun untuk penyanyi berkenaan.
Dexter berkata, langkah itu dibuat kerana menyedari perkembangan teknologi yang semakin pesat menggalakkan peminat muzik beralih pandangan kepada acuan muzik yang lebih murah dan terkini seperti muat turun telefon bimbit, MP3, MP4 dan sebagainya. - Murai
No comments:
Post a Comment