29 December 2008

20 ketua Pemuda buat laporan polis

MELAKA 28 Dis. - Kewujudan sebuah blog yang menghina Nabi Muhammad SAW terus mendapat tentangan pelbagai pihak yang mendesak agar siasatan segera dijalankan bagi menjejaki individu sebenar yang bertanggungjawab di sebalik perbuatan itu.

Ekoran kejadian itu, 20 Ketua Pemuda Cawangan UMNO Bahagian Kota Melaka membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, di sini hari ini.

Ketua Pemuda Bahagian Kota Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman yang mengetuai laporan itu berkata, tindakan tersebut bertujuan menyekat perbuatan menghina Nabi Muhammad dan agama Islam daripada berterusan.

"Perbuatan menghina Nabi Muhammad adalah satu bentuk hasutan dan telah membangkitkan kemarahan umat Islam.

"Ia jelas telah mewujudkan sentimen agama dan pihak polis perlu mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengenakan tindakan di bawah ISA," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Melaka Tengah di sini hari ini.

Dalam laporan itu, pihaknya turut menyerahkan salinan cetak kandungan blog tersebut yang telah dihentikan sejak semalam.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya kelmarin mendedahkan mengenai kewujudan sebuah blog yang didapati menghina Nabi Muhammad sehingga mengundang rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Blog tersebut turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu, bagaimanapun gambar dan nama wanita itu hanya diperalat oleh pihak lain.

Menurut Abdul Razak, walaupun ada dakwaan mengatakan penulis tersebut telah teraniaya, tetapi beliau percaya pihak polis akan berjaya mengesan penulis sebenar blog tersebut dalam masa terdekat. - Utusan

No comments:

Post a Comment