11 November 2008

Wira cilik Afiq Aiman terima anugerah

KUALA LUMPUR - Keberanian dan kepetahan berbicara seorang kanak-kanak, Afiq Aiman Sharul Anuer, 6, telah berjaya mengembalikan rantai emas seorang rakannya yang sebelumnya dicuri oleh seorang wanita dewasa yang dikenali beliau.

Menceritakan mengenai kejadian yang berlaku pada Jun lalu, Afiq Aiman memberitahu, dia bersama rakannya yang hanya dikenali sebagai Najwa, 6, dalam perjalanan pulang ke rumah pengasuh mereka.

"Masa naik tangga ada seorang mak cik mendekati kami dan menegur rantai emas yang dipakai Najwa, lepas tu dia cakap 'auntie nak ambil rantai ni', kemudian dia terus buka rantai Najwa bawa lari," katanya.

Ekoran tindakan wanita tersebut, ia telah mendorong Afiq Aiman melaporkan kejadian itu kepada pengasuhnya bahawa rantai emas Najwa telah dicuri sehingga mendorong pengasuh terbabit pergi ke rumah wanita berkenaan.

"Bila sampai rumah mak cik tu, dia tak mengaku tapi saya tahu memang dia ambil sebab saya kenal dia dan lama-lama dia pulangkan balik rantai Najwa," tambahnya.

Ekoran keberaniannya itu, Afiq telah diumumkan sebagai Pelajar Terbaik dan menerima Anugerah Khas Keberanian pada majlis Konvokesyen Tabika Kemas Wilayah Persekutuan. - Kosmo

No comments:

Post a Comment