NEW DELHI, 11 Nov (Bernama) -- Dua wanita Malaysia ditahan di lapangan terbang di Mumbai kerana didapati membawa dadah jenis ketamin seberat 30 kg Sabtu lepas.
Saroja Gengan dan Rani Perumal, kedua-duanya berusia dalam lingkungan 40-an ditahan oleh pegawai Kastam Mumbai di lapangan terbang antarabangsa Chhatrapati Shivaji ketika dalam perjalanan ke London.
"Mereka transit di Mumbai. Dadah itu disembunyikan dalam satu bahagian di dalam tiga bekas pembuat kopi yang ditemui dalam beg mereka. Mereka kini ditahan di penjara Byculla," kata seorang pegawai di Mumbai kepada Bernama.
Memetik pegawai dari Unit Risikan Udara di Mumbai yang tidak dinamakan, akhbar DNA (Daily News & Analysis) melaporkan kedua-dua wanita itu dalam perjalanan ke Abu Dhabi dengan pesawat Etihad Airlines pada Sabtu.
Mereka ke Mumbai melalui Chennai.
Akhbar itu melaporkan seorang individu dengan nama Mohmmad Isaar, dari Kuala Lumpur, mengupah mereka membawa ketamin untuk rakannya di London.
Dia juga dipercayai membayar tambang mereka untuk membawa bahan larangan itu yang bernilai RM300,000 di pasaran antarabangsa.
"Biasanya penyeludup menggunakan laluan udara ke Thailand, Singapura dan destinasi lain dengan penerbangan tertentu.
"Wanita berkenaan nampaknya telah menukar kedua-dua destinasi dan penerbangan dalam usaha untuk mengelirukan pegawai kastam," lapor DNA, memetik pegawai yang tidak dinamakan itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment