JAKARTA Sekumpulan ulama kanan Indonesia telah diminta supaya melawat tiga pengebom Bali, yang dijangka menjalani hukuman mati - ditembak oleh skuad khas, dalam waktu terdekat, bulan ini.
"Kami telah menerima surat daripada pejabat pendakwa raya Cilacap supaya menghantar sembilan orang ulama ke penjara untuk menjalankan khidmat kaunseling kepada ketiga-tiga mereka," kara Sahlan Natsir, seorang anggota badan ulama Islam tempatan, yang terletak berhampiran dengan penjara.
Bagaimanapun beliau yang dipetik AFP tidak menyatakan bila mereka diminta mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga pengebom tersebut - Imam Samudra, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron.
Kelmarin paderi Katolik Australia merayu agar mereka tidak dihukum mati.
Paderi Timothy Harris dari Brisbane, pada minggu lalu telah melawat bekas kariah yang didapati bersalah mengedar dadah, Scott Rush, yang kini menunggu hukuman mati di Bali, dan Michael Czugaj yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan yang sama.
Isnin lalu, Mahkamah Agung Indonesia berkata, rayuan terbaru saat-saat akhir daripada keluar pengebom Bali itu tidak akan menyelamatkan mereka daripada hukuman mati.
ABC melaporkan spekulasi bahawa pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga Putera Charles menamatkan lawatan ke Indonesia hari ini.
Malah, katanya, pihak berkuasa Indonesia juga mahu menggunakan liputan meluas media pemilihan Presiden AS, yang sedang berlangsung, yang dipercayai akan mengalihkan tumpuan ke atas hukiman mati.
Minggu lalu kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa hukuman ke atas mereka akan dijalankan awal bulan ini.
Mereka dijadual menjalani hukuman dalam waktu terdekat bulan ini.
Justeru, mereka telah dipindahkan ke bilik pengasingan di penjara Nusakambangan dan lokasi menjalani hukuman telah disediakan.
Ketiga-tiga militan berkenaan akan menjalani hukuman pada waktu yang sama tetapi dilokasi yang berlainan.
Sejak Jumaat lalu, pihak berkuasa Indonesia telah meningkatkan tahap keselamatan bimbang pelaksanaan hukuman akan mencetuskan kekacauan.
Semua hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh skuad penembak dan biasanya dilakukan di lokasi dan waktu yang tidak dinyatakan.
No comments:
Post a Comment