PUTRAJAYA 31 Okt. - Lebih 30,000 rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh di United Kingdom (UK) dinasihatkan segera pulang ke tanah air sebelum kerajaan negara itu mengambil tindakan terhadap mereka terutama apabila UK memperkenalkan peraturan visa baru pada tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar (gambar) berkata, melalui perundingan dua hala, UK memberikan insentif tiket penerbangan sehala percuma untuk menggalakkan rakyat Malaysia pulang dalam tempoh Julai hingga Disember ini.
Beliau berkata, mereka yang pulang melalui program Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) itu kemudian akan disenaraihitam dan dilarang memasuki semula UK sehingga selepas lima tahun.
''Maknanya UK tidak memerlukan lagi rakyat kita yang tinggal melebihi tempoh. Jadi saya harap rakyat kita yang pergi ke negara orang jangan melanggar undang-undang di sana dengan tinggal melebihi tempoh.
''Pada masa ini UK akan membuat penilaian ke atas tawaran tersebut sehingga hujung tahun ini sebelum negara itu membuat sebarang keputusan," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Kualiti dan jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini malam ini.
Hadir sama ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dan Ketua Pengarah JPN, Datuk Muhammad Abdul Halim Muhammad.
Mengikut statistik dari Januari hingga Ogos lalu, lebih 250,000 rakyat negara ini berkunjung ke UK manakala seramai 271,000 rakyat UK memasuki Malaysia bagi tempoh yang sama.
Menurut Syed Hamid, kerajaan bimbang sekiranya UK memperkenalkan peraturan visa, ia akan menimbulkan kesulitan kepada mereka yang tinggal melebihi tempoh selain menjejaskan rakyat Malaysia lain yang ingin ke negara tersebut.
Sementara itu, beliau mengumumkan kerajaan akan mengeluarkan semula MyKad Hijau bagi 38,672 orang Pemastautin Sementara setelah pengeluaran kad pengenalan jenis itu dibekukan sejak tahun 2004.
Katanya, mereka yang terbabit boleh mengemukakan permohonan MyKad Hijau bermula 15 November ini dan tempoh tempoh sah laku kad tersebut ialah selama lima tahun berbanding sebelum ini hanya dua tahun.
''Mereka ini bukan penduduk tetap tetapi dilahirkan di negara ini tanpa mempunyai pengenalan siapakah ibu bapa mereka, ini menyukarkan kita menentukan status kewarganegaraan mereka.
''Jadi selepas kita bekukan kad jenis itu dulu, mereka ini tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan dan seolah-olah lahir tanpa sebarang dokumen pengenalan," katanya.
Justeru, beliau menyatakan, bagi memudahkan proses permohonan tersebut, Ibu Pejabat JPN di Putrajaya dan pejabat JPN di seluruh negara akan dibuka selama tujuh hari seminggu bagi memudahkan urusan orang ramai.
''Mereka boleh datang dengan mengemukakan MyKad Hijau yang lama, resit sementara, sijil lahir asal atau salinan yang dikeluarkan oleh JPN.
''Bagi mereka yang hilang resit sementara boleh datang ke ibu pejabat JPN negeri-negeri bagi mendapat cabutan daftar," katanya. Utusan
No comments:
Post a Comment