13 November 2008

Sebat patut jadi hukuman utama

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Hukuman sebat secara syariah sepatutnya dijadikan sebagai hukuman utama yang dikenakan kepada pesalah syariah tanpa mengira pangkat atau darjat.

Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Nasimah Hussin berkata, hukuman sebat secara syariah boleh membuatkan masyarakat merasa gerun dan serik.

“Semua hukuman dan penalti dalam jenayah Syariah perlu dikaji semula dan ia wajar dinaikkan serta diberatkan lagi.

“Untuk tujuan ini, perlu ditubuhkan satu jawatankuasa khas yang membuat kajian secara menyeluruh untuk menentukan kadar hukuman dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan undang- undang kesalahan jenayah Syariah di Malaysia,” katanya.

Nasimah berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Isu-Isu Terkini Kesalahan-Kesalahan Jenayah di Mahkamah Syariah pada hari pertama Seminar Isu-Isu Mahkamah Syariah Ke-10 di Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, dekat sini hari ini.

Jelas beliau, hukuman denda yang rendah menyebabkan ramai memandang ringan keberkesanan undang-undang Islam di negara ini.

“Kita perlu memikirkan pelaksanaan hukuman denda yang lebih adil yang boleh diaplikasi kepada semua dengan mengambil kira taraf kewangan pesalah,’’ katanya.

Tambah beliau, ramai umat Islam terutamanya di kota besar tidak gentar dengan tuntutan agama sehinggakan apabila ditangkap kerana kesalahan syariah, mereka mengaku bersalah memandangkan hukuman pesalah syariah adalah ringan berbanding Mahkamah Sivil.

Dalam kertas kerja yang sama, Nasimah turut mencadangkan supaya hukuman penjara pesalah Syariah diasingkan daripada pesalah sivil dan ditukar nama kepada hukuman lain seperti tahanan pesalah Syariah.

‘‘Hukuman penjara menurut undang- undang Malaysia mempunyai implikasi yang amat berat termasuk kepada pesalah syariah,’’ katanya. - Utusan

* Sudah ramai bijak pandai di Malaysia, sepatutnya boleh mencari jalan yang berkesan dan segera mengatasi jenayah yang menjadi2, sehingga mengganggu kehidupan seharian. Sampai masanya kita melihat semua ini sebagai suatu 'darurat' dan undang-undang Islam adalah penyelamat dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment