20 November 2008

Razak : Najib tidak pernah jumpa Altantuya

KUALA LUMPUR: "Saya tidak pernah ada hubungan dengan Altantuya" demikian kata-kata Abdul Razak Abdullah Baginda pada sidang media pertama selepas dibebaskan daripada tuduhan dalam kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tiga minggu lalu.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu menemui wartawan di sebuah hotel di ibu negara pada jam 9.30 pagi tadi ditemani bapanya, Datuk Abdullah Malim Baginda dan tiga peguam; Avtaran Singh, Rozana Abdullah dan Alex Tan.

Dalam sidang media selama 45 minit itu, Razak berkata, apa yang ditulis atau disebar selama ini berhubung hubungannya dengan Altantuya adalah tidak benar.

Bagaimanapun, beliau mengakui pernah bertemu dengan Altantuya pada 2004, namun menolak dakwaan mempunyai sebarang hubungan dengan wanita itu.

Beliau turut merayu supaya kepada pihak-pihak tertentu supaya berhenti menyebarkan fitnah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum ini turut dikaitkan dengan kes pembunuhan itu.

"Saya tahu (Datuk Seri) Najib dan isteri tidak pernah menemui Altantuya. Terlalu banyak fitnah yang dilemparkan kepada Najib dan isteri.

"Mereka yang menyebarkan fitnah tidak pernah mengeluarkan bukti yang cukup kerana sememangnya tidak ada bukti," katanya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Razak berkata: "Saya akan kembali ke United Kingdom. Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa saya adalah penuntut di Oxford.

"Pada 28 September 2006, dua minggu sebelum saya ditahan, saya telah pun menghantar disertasi kedoktoran setelah beberapa tahun belajar di sana.

"Pihak universiti terpaksa menahan dulu disertasi saya," kata Razak.

Bagaimanapun, beliau telah menghubungi pihak universiti tersebut dan meminta mereka untuk meneruskan proses penilaian bagi mendapatkan ijazah kedoktorannya.

"Saya akan kembali ke sana untuk dinilai dimana pemeriksa akan membaca disertasi saya dan menemubual saya. Insyaallah, saya akan menerima ijazah kedoktoran saya tahun hadapan," ujarnya.

Razak sepatutnya mengadakan sidang media pada 6 November lalu pada masa dan tempat yang sama namun membatalkannya di saat-saat akhir.

Pada hari yang sama, Rowena mengeluarkan kenyataan meminta maaf atas pembatalan sidang media tersebut.

Dalam kenyataannya itu, Rowena berkata, bapanya sedang menyesuaikan semula kehidupan sebagai seorang yang bebas selepas dipenjarakan hampir dua tahun dan ternyata penyesuaian itu mengambil sedikit masa.

Cubaan untuk mendapatkan komen daripada Razak berhubung pembebasannya itu telah dilakukan sejak hari beliau dibebaskan namun beliau enggan berbuat demikian.

Jumaat lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai barisan pendakwaan kes pembunuhan Altantuya berkata, pihaknya tidak akan memfailkan rayuan atas alasan Hakim Mohd Zaki Md Yasin yang memutuskan kes berkenaan sudah membuat penemuan fakta ketika membebaskan Abdul Razak daripada tuduhan tersebut

Razak merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan 31 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Mohd Zaki mendapati tiada kes prima facie bagi Razak untuk menjawab tuduhan.

Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi.

Azilah dan Sirul Azhar akan memberikan keterangan secara bersumpah untuk membela diri mereka mulai 15 Januari depan.

Mengulas mengenai pengalamannya sepanjang 22 bulan berada di dalam penjara, kata Razak, tempoh tersebut telah banyak mendekatkan dirinya kepada Allah.

"Saya menganggap diri saya amat bertuah. Saya banyak membaca buku ketika berada di sana tetapi sejak setahun yang lalu, saya semakin banyak membaca tentang Islam," katanya. - Mstar

* Silap-silap dua polis itu pun didapati tidak bersalah

No comments:

Post a Comment