22 November 2008

Rafidah pertahan jawatan sahut cabaran Shahrizat

PETALING JAYA: Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mengumumkan untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac depan.

Kenyataan tersebut di buat selepas 24 jam , Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan beliau akan bertanding mencabar ketuanya itu.

Dengan perkembangan terbaru ini pelan peralihan kuasa melibatkan kedua-dua pemimpin tersebut juga musnah.

"Sekarang, kerana pelan peralihan telah diingkari dan jawatan ketua akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang saya sandang sekarang ini.

"Insya-Allah akan bertanding jawatan tersebut untuk tempoh 2009-2011," katanya dalam satu kenyataan setebal 10 muka surat bertulisan tangan.

Katanya beliau menghargai dan menghormati pepencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.

"Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu," katanya.

Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan yang dipersetujui exco pergerakan itu ditolak dan dipertikaikan selepas tempoh tiga bulan beliau mengumumkannya iaitu pada 4 Ogos lalu.

Katanya semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco mahupun pihak luar mempertikaikan keputusannya itu.

"Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan dan akan patuh pada pelan peralihan serta patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.

"Bahkan beliau telah menyatakan bahawa 'kata akan dikota' dan 'my word is my honour' (semuanya telah disiar dalam media)," katanya.

Tambah Rafidah lagi beliau tidak mempunyai sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai.

Menurutnya jika ada mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pelan peralihan tersebut, maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab perkara tersebut wajar dibangkitkan dan dibantah dalam mana-mana perbincangan sebelum ini.

"Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan, maka pasti exco akan membatalkan sahaja pelan itu.

"Dan saya tidak ragu-ragu kan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan ketua dan naib ketua," katanya.

Bagaimanapun katanya 'bantahan' terhadap pelan peralihan yang dipersetujui sebelum ini hanya ditimbulkan selepas mendapat pencalonan yang mencukupi bagi melayakkan diri untuk bertanding.

"Selepas mereka telah mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, maka baru membantah dengan pelbagai alasan yang sebenarnya tidak berasas.

"Ada pula pihak-pihak yang mahukan pelan peralihan dipercepat dari Jun ke Mac 2009...ini tidak logik," katanya.

Jelas Rafidah, jika peralihan kuasa dibuat pada bulan Mac, maka ia bermaksud tiada lagi pelan peralihan yang pada asasnya melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung Umno dan tarikh penyerahan jawatan.

Ujar beliau lagi, umum mengetahui bahawa pada asalnya jangka masa itu ialah antara Januari hingga Jun tahun hadapan kerana pemilihan peringkat pusat dijadualkan pada Disember tahun ini namun telah dianjak ke Mac tanpa menjejaskan pelan peralihan.

"Jika dipercepat kepada Mac, ini bererti bahawa saya dipaksa menyerahkan jawatan ketua secara bult-bulat dengan Shahrizat menang tanpa bertanding," katanya lagi.

Juteru Rafidah berkata perkara tersebut jelas menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang telah mencalonkannya untuk terus menerajui pergerakan tersebut hingga Jun 2009.

Dalam pada itu Rafidah turut menyarankan supaya pertandingan bagi perebutan jawatan dalam pergerakan tersebut dilaksanakan dengan tertib tanpa menjejaskan parti.

"Saya ingin menyarankan supaya pertandingan semua jawatan-jawatan dalam pergerakan wanita Umno hendaklah dijalankan dengan tertib, beradab, ikhlas dan jangan sekali-kali menjejasakan sesiapa atau menjejaskan parti," katanya.

Beliau juga menasihatkan supaya tidak ada mana-mana pihak yang akan menabur fitnah, berbohong atau cuba membawa perpecahan dalam parti.

Rafidah menerajui Pergerakan Wanita Umno bermula pada tahun 1984 selepas menewaskan penyandang ketika itu, Tan Sri Zaleha Ismail.

Bagaimanapun pada tahun 1996 jawatan tersebut beralih tangan kepada Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman sebelum dirampas kembali oleh Rafidah pada tahun 2000.

Terdahulu, Shahrizat, bekas anggota Kabinet dan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, melalui kenyataan dua perenggan mengesahkan beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan itu.

"Wanita Umno mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan," katanya dalam kenyataan tersebut semalam.

Keputusan beliau itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Rafidah untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat Jun depan.

Dengan keputusan itu juga bermakna Shahrizat akan memberi laluan kepada satu-satunya saingan beliau bagi jawatan Naib Ketua iaitu Datuk Kamilia Ibrahim untuk menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.

Dalam pada itu, pengumuman Shahrizat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno mendapat sokongan terbuka daripada beberapa ketua wanita bahagian. - Mstar

No comments:

Post a Comment