10 November 2008

Polis Kutip RM7.45 Juta Saman Melalui e-Payment

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip RM7.45 juta sejak kaedah pembayaran elektronik atau 'e-payment' diperkenalkan pada September tahun lepas bagi memudahkan pesalah trafik membayar saman.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata kini terdapat sejumlah RM1.2 bilion saman tertunggak yang belum dibayar dan pihaknya berharap dengan adanya kaedah 'e-payment' ini, pesalah trafik dapat membayar saman mereka.

Kaedah pembayaran ini amat memudahkan pesalah trafik kerana mereka tidak perlu membawa wang tunai yang banyak ketika berurusan di kaunter pembayaran saman yang kini bukan sahaja diwujudkan di balai polis, tetapi juga di pusat membeli belah, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu yang dianjurkan oleh Maybank di sebuah pusat membeli belah di sini, Isnin.

Musa berkata sehingga kini, sebanyak 85 kaunter pembayaran saman "e-payment" telah dibuka di seluruh negara yang hanya memerlukan pesalah trafik membayar melalui kad kredit atau kad debit.

Beliau berkata dengan sistem pembayaran "e-payment" pihak polis juga dapat mengurangkan kes-kes pesalah trafik yang memohon untuk mengurangkan saman.

"Masyarakat seharusnya sedar, tidak mengira miskin atau kaya, pangkat atau kedudukan, jika mereka berani melanggar undang-undang, maka mereka juga perlu terima dengan hati terbuka sekiranya dilayangkan surat saman.

"Denda adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Kompaun kita bagi setelah kita kaji kesesuaiannya iaitu kepada yang bayar awal, nilai kompaun akan diminimumkan tetapi bagi yang liat membayar, dia akan dikenakan nilai maksimum," katanya.

Musa berkata polis akan tetap melayan sebarang rayuan mengenai saman yang dikeluarkan jika mempunyai sebab munasabah.

"Jika mereka merasakan adalah tidak wajar mereka disaman, kita akan siasat dakwaan mereka dan pegawai polis itu sendiri sama ada saman tersebut diserahkan secara adil atau tidak," katanya.

Musa berkata pihak polis juga sedang menimbangkan kaedah pembayaran lain seperti pembayaran melalui internet atau di mesin ATM.

-- BERNAMA

* Sistem denda duit tidak praktikal menyelesaikan masalah

No comments:

Post a Comment