JAKARTA 3 Nov. – Tiga pengebom Bali yang bakal menjalani hukuman mati kerana peranan mereka dalam serangan yang membunuh 202 orang pada 2002 berasa marah kerana pelaksanaan hukuman itu dilengah-lengahkan.
Mereka bertiga, Amrozi, 47, Mukhlas, 48 dan Imam Samudra, 38, telah diasingkan daripada tahanan lain dan arahan untuk menembak mereka sampai mati telah diserahkan, menurut sumber di penjara kawalan ketat Nusakambangan di selatan Jawa.
Seorang ahli keluarga pengebom itu menyatakan bahawa Mukhlas yang juga dikenali sebagai Ali Ghufron telah meminta hukuman itu dilaksanakan tanpa lengah lagi, lapor agensi berita Australia, AAP.
Keluarga pengebom terbang ke Bali hari ini untuk memfailkan rayuan saat akhir di mahkamah Denpasar.
Peguam mereka, Imam Asmara Hadi berkata, rayuan itu dibuat berdasarkan dakwaan pengebom bahawa mereka tidak dimaklumkan dengan sewajarnya tentang sebab rayuan mereka sebelum ini ditolak. ~Utusan
No comments:
Post a Comment