12 November 2008

Penceraian Nash-Sosilawati diputuskan tidak sah

PETALING JAYA: Penceraian antara penyanyi rock Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 47 dan isterinya, Sosilawati Lawiya, 44 diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini.

"Saya yakin dan percaya, Allah akan bagi kekuatan kalau kita benar dan betul.

"Alhamdulillah dan terima kasih kepada keluarga, kawan terdekat dan peminat yang sentiasa mendoakan saya," kata Nash ketika dihubungi selepas memenangi kes tersebut.

Ditanya tentang adakah keputusan tersebut membuatkan hubungannya dan Sosilawati kembali pulih, Nash menjawab perkara itu jatuh pada nombor 10 dan beliau enggan mengulas lanjut tentangnya.

Pada Ogos lalu, vokalis kumpulan Lefthanded ini mendakwa beliau tidak pernah melafazkan cerai terhadap isteri keduanya, pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages itu.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Ku Di Halaman Rindu, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, beliau sanggup bersumpah syarie kerana tidak pernah memberitahu mana-mana pihak mengenai lafaz cerai yang disebut terhadap isterinya.

Nash yang mengahwini Sosilawati pada November 2007, bagaimanapun mengakui memang berlaku krisis rumah tangga antaranya dengan Sosilawati selepas kira-kira empat bulan mereka berkahwin.

Perbicaraan diadakan di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohammad.

Nash diwakili peguam syarie Amli Embong dan Ahmad Daud, manakala Datuk Mohd Zaidi Mohd Zaid mewakili Sosilawati. - Mstar

No comments:

Post a Comment