08 November 2008

Pemilihan Ketua Staf White House cetus kontroversi

WASHINGTON 7 Nov. - Langkah Barack Obama melantik anggota Dewan Perwakilan dari Illinois, Rahm Emanuel sebagai Ketua Staf White House mendapat kritikan daripada Parti Republikan.

Parti Republikan menyifatkan Emanuel sebagai orang dalam Washington dan anggota Parti Demokrat yang amat berat sebelah.

Beberapa anggota Parti Republikan mengkritik pelantikan Emanuel kerana Obama pernah berjanji untuk memperbaiki hubungan antara kedua-dua parti.

"Keputusan pertama Obama sebagai bakal Presiden melanggar janji beliau untuk 'memulihkan jurang'.

"Emanuel adalah orang dalam yang berat sebelah dan memainkan peranan penting dalam memusnahkan Washingon," kata jurucakap Jawatankuasa Republikan Kebangsaan, Alex Conant.

Obama mengumumkan pelantikan Emanuel itu semalam dan menegaskan bahawa ketua staf membayangkan kemampuan Presiden dan pentadbiran untuk mencapai agendanya.

"Bagi saya, tiada orang lain yang dapat membuat kerja dengan baik seperti Rahm Emanuel," kata Obama yang terpilih sebagai Presiden AS yang baru pada Selasa lalu, selepas berbulan-bulan berkempen menjanjikan perubahan dalam politik Washington.

Jawatan Ketua Staf adalah pelantikan tertinggi dan menjadi penasihat paling rapat kepada Presiden yang akan memutuskan siapa yang perlu mendapat akses kepada Presiden serta bertanggungjawab membangunkan polisi pentadbiran.

Emanuel yang mempunyai reputasi sebagai pengatur strategi yang baik, namun berat sebelah dalam politik Washington, memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai pemimpin Demokrat di Capitoll Hill untuk membawa perubahan kepada AS.

Sementara itu, media Israel semalam menyambut baik pelantikan Emanuel yang berdarah Yahudi dengan salah satu akhbarnya menyifatkannya sebagai "orang kita di White House."

Stesen radio dan akhbar Israel melaporkan bahawa bapa Emanuel adalah kelahiran Baitulmaqdis dan pernah menjadi anggota kumpulan ultranasionalis bawah tanah, Irgun, yang menentang askar Britain sebelum tertubuhnya negara Israel pada 1948.

Emanuel sendiri pernah menawarkan diri untuk berkhidmat dalam tentera Israel dan pernah menjalani latihan selama dua bulan di pangkalan tentera di utara negara Yahudi itu semasa Perang Teluk 1991.

"Jelas, dia akan memberi pengaruh kepada Presiden AS supaya menjadi pro-Israel," kata bapa Emanuel yang berpindah ke AS pada 1960-an, kepada akhbar Maariv. Utusan

No comments:

Post a Comment