KOTA BHARU 27 Nov. - Seorang wanita cedera parah dan terpaksa menerima lebih 200 jahitan di kepala selepas dipukul seorang lelaki yang merompak rumahnya di Kampung Chetok, Bendang Pauh, dekat Pasir Mas, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Che Rokiah Salleh, 55, cedera di kepala dan mata kiri serta patah hidung selepas dipukul suspek dengan batang besi.
Mangsa ditemui terlantar berlumuran darah di dalam rumah oleh anaknya, Mohd. Zahar Yazid, 23, yang pulang ke rumah kira-kira pukul 6.40 pagi selepas menghantar pekerja kilang.
Che Rokiah ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini berkata, kejadian berlaku ketika dia bangun untuk menunaikan solat subuh.
"Sebaik sahaja keluar dari bilik tidur, saya mendapati seorang lelaki yang dikenali sudah berada dalam rumah dan dia tiba-tiba terus memukul bahagian tengkuk menyebabkan saya terjatuh.
"Suspek yang membalut kepalanya dengan jaket dan kain langsir bertindak memukul kepala saya bertubi-tubi dengan batang besi.
"Saya menjerit meminta tolong tetapi pada masa itu di rumah saya cuma ada seorang cucu berumur 18 bulan yang sedang tidur dalam buaian," katanya.
Menurut Rokiah, dia tidak dapat berbuat apa-apa apabila suspek terus meragut rantai leher dianggarkan bernilai RM10,000 sebelum lari.
Sementara itu, menurut Mohd. Zahar, dia yang tiba di rumah kira-kira pukul 6.40 pagi, terkejut melihat ibunya terlantar dan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri.
"Saya ternampak kelibat seorang lelaki turun dari rumah dan mengenalinya kerana dia tinggal sekampung, saya cuba mengejar tetapi tidak dapat.
"Kemudian saya terus membawa ibu yang sudah tidak sedarkan diri ke Hospital Tanah Merah tetapi dirujuk ke HRPZ II kira-kira pukul 2 petang semalam kerana keadaannya agak kritikal sebelum membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas, sejam kemudian," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Deputi Supritendan Tengku Azman Tengku Abdullah ketika dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Tambahnya, sejurus menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota terus melancarkan gerakan mencari dan berjaya menahan suspek berusia 30-an.
"Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menggunakan senjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah," katanya. - utusan
No comments:
Post a Comment