08 November 2008

Norman Hakim Jejas Reputasi Gerak Khas

KUALA LUMPUR, 3 NOV 2008: "Hati saya dan isteri benar-benar terluka. Sebagai orang tua saya selalu menasihati dia supaya jangan libatkan diri dalam skandal peribadi yang sebegini.

"Tidak sangka dia (Norman Hakim) selama ini telah membuat drama di belakang saya serta mempermainkan diri saya. Sedikit sebanyak apa yang dilakukannya ini telah menjejaskan reputasi drama bersiri Gerak Khas," kata Datuk Yusof Haslam.

Produser serta pengarah siri drama bercorak kepolisan ini berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai laporan berita tangkap khalwat membabitkan Norman dengan pelakon baru, Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20.

Sungguhpun begitu, Yusof yang sebelum ini pernah menerbit serta mengarahkan pelbagai filem yang pecah panggung seperti Sembilu, Maria Mariana, Pasrah serta Tragedi Oktober mengakui masih belum mengambil kata putus sama ada mahu mengekal atau menyingkirkan Norman dari dalam siri tersebut.

"Saya sedar ada segelintir masyarakat yang mahu saya singkirkan Norman kerana telah menjejaskan imej Gerak Khas. Saya baca komen-komen tersebut dalam murai.com.my selepas anak saya tunjukkan pada saya.

"Tapi, dalam hal ini saya juga tidak boleh melatah. Bukan sebab tidak mahu ambil pandangan orang ramai tetapi kes ini masih lagi berjalan. Kita kena biarkan segala-galanya selesai dahulu.

"Lagipun tidak eloklah saya buat apa-apa keputusan sedangkan Norman & Abby masih lagi berkrisis. Mereka perlukan masa untuk selesaikan dulu masalah rumahtangga mereka," katanya kepada murai.com.my.

Yusof bagaimanapun mengakui bahawa dia sudah berkali-kali menasihati Norman supaya menjauhkan diri daripada terbabit dengan skandal peribadi yang sebegini.

"Bukan dengan dia seorang saja tetapi juga seluruh pelakon lain yang turut membintangi Gerak Khas. Kalau tersangkut sekali alamatnya bukan hanya imej saja yang akan terjejas tetapi masyarakat juga akan membenci.

"Kes Norman ini boleh dijadikan satu pengajaran. Lagipun apabila sudah memakai pakaian seragam polis serta membawakan watak sebagai seorang inspektor, bukankan tidak elok kalau nama tiba-tiba dikaitkan dengan skandal peribadi yang seperti ini.

"Hendak pakai uniform dan mainkan watak polis bukanlah semudah yang disangka. Semua nama perlu dihantar dulu ke polis Bukit Aman. Dari situ mereka akan ambil rekod dan menyiasat latar belakang seseorang pelakon yang terbabit.

"Namun semua pelakon saya telah melepasi tahap ini. Tapi apabila timbul kes tangkap khalwat Norman dengan Memey ini, segelintir pihak polis di Bukit Aman pun tanya apa sudah jadi. Jadi untuk apa pakai uniform polis itu lagi," katanya.

Jelas Yusof lagi, dia tidak tahu bagaimana hendak mempertahankan Norman dalam masalah ini.

"Senang cakap, berani buat, beranilah tanggung. Apapun saya hanya mengharapkan yang terbaik untuk Norman dan Abby. Kalau boleh saya mahu mereka berbaik semula," katanya lagi. - Murai

No comments:

Post a Comment