21 November 2008

Najib minta Wanita UMNO bersatu semula selepas pertandingan Rafidah-Shahrizat

LIMA 21 Nov. – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Wanita UMNO merapatkan semula perpaduan sayap kanan parti itu selepas selesai pemilihan yang membabitkan Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Mac depan.

Diminta mengulas keputusan Shahrizat, Naib Ketua Wanita UMNO, untuk mencabar Rafidah bagi jawatan ketua pergerakan itu, Najib yang berada di ibu kota Peru ini untuk sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berkata, kempen-kempen dalam pertandingan jawatan tersebut mestilah berlangsung dengan cara sihat.

“Saya sudah menyatakan, pertamanya ada dua pilihan pada wanita iaitu menyelesaikan soal kepimpinan melalui rundingan dan persefahaman. Nampak gayanya pendekatan itu tidak dapat dicapai dan berhasil.

“(Memandangkan) pertandingan akan berlaku bagi mengisi jawatan Ketua Wanita, saya hendak tegaskan bahawa penting sekali proses pemilihan itu berjalan dengan mencerminkan kematangan demokrasi dalam parti,” kata Najib.

Bakal Presiden UMNO itu memberitahu, cara berkempen untuk jawatan itu mestilah merupakan kempen yang sihat dan bersih.

“Matlamat yang dikehendaki oleh parti termasuk saya sendiri adalah supaya proses pemilihan ini tidak menjejaskan perpaduan dalam Wanita.

“Wanita mesti beriltizam untuk merapatkan barisan secepat mungkin selepas pemilihan ini dan meneruskan tanggungjawab dan kerja mereka sebagai tulang belakang kepada parti UMNO bagi memastikan Wanita kuat dan kukuh,” ujarnya. - Utusan

* Jangan bertarik rambut sudah

No comments:

Post a Comment