22 November 2008

Lapan cedera serangan bom ke atas penunjuk perasaan antikerajaan Thailand

BANGKOK 22 Nov. – Lapan penunjuk perasaan antikerajaan Thailand cedera, termasuk seorang parah, dalam satu serangan bom tangan di ibu negara sebelum subuh hari ini.

Serangan itu meningkatkan lagi ketegangan menjelang protes besar-besaran antikerajaan yang dijadualkan esok.

Letupan itu berlaku dua hari selepas seorang terbunuh dan 29 lagi cedera dalam serangan serupa ke atas penunjuk perasaan Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) yang menduduki pekarangan pejabat Perdana Menteri sejak Ogos lalu.

Serangan hari ini mengenai pusat pemeriksaan yang dikendalikan oleh pengawal keselamatan PAD di luar pekarangan Rumah Kerajaan yang diduduki itu, kata seorang jurucakap pusat kecemasan.

“Kesemua mangsa adalah lelaki termasuk seorang yang cedera terkena serpihan bom di kepala dan leher,” katanya.

Pusat kecemasan itu dimaklumkan mengenai insiden terbaru itu pada 2.14 pagi ini (3.14 pagi waktu Malaysia).

Laman web PAD melaporkan, seorang lelaki bermotosikal dilihat membaling sebutir bom tangan ke khemah penunjuk perasaan.

“Serangan ini sudah tentunya angkara kerajaan atau penyokong kerajaan.

“Polis gagal melakukan pemeriksaan rapi untuk mengesan senjata di pusat pemeriksaan,” tuduh seorang pemimpin PAD, Pibhop Dhongchai.

Beliau mengesahkan lapan orang cedera dan lelaki berusia 33 tahun yang cedera parah itu kini dalam keadaan koma.

PAD sudah pun mengatur rapat umum besar-besaran bagi mengepung bangunan Parlimen esok sebagai memprotes serangan bom tangan yang meragut satu nyawa kelmarin. – AFP

No comments:

Post a Comment